Pengalaman ketika menyertai misi Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) menjadi titik perubahan buat Kapten Abdul Qayyum Abdul Sharip, 39, sehingga mendorong beliau menamatkan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) tahun ini (2025).

Berbekalkan 15 tahun pengalaman berkhidmat bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), minat beliau terhadap bidang undang-undang tercetus apabila melihat sendiri isu pematuhan undang-undang antarabangsa semasa menjalankan tugas di Lubnan pada tahun 2016-2017.
“Semasa di Lubnan, saya nampak sendiri situasi berkaitan undang-undang antarabangsa yang tidak dipatuhi.
"Dari situ saya terdorong untuk mendalami dunia undang-undang dengan lebih serius,” jelasnya ketika ditemui sejurus selesai sesi Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 pada 23 November 2025.
Anak kelahiran Pahang ini sebelum ini berkelulusan Diploma Sains Komputer dari UiTM serta Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer & Rangkaian) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Meskipun latar belakang akademiknya berbeza, beliau tekad membuka lembaran baharu dalam bidang perundangan.

Mengimbangi pengajian sambil berkhidmat secara aktif dalam TUDM bukan sesuatu yang mudah. Lebih mencabar apabila beliau turut memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada seorang anak perempuan.
“Masa untuk keluarga memang terhad. Banyak masa saya kena bahagi untuk belajar dan ulangkaji.
"Bila bekerja, saya boleh balik dan bersama keluarga, tapi bila belajar, komitmennya lebih besar,” ujarnya.
Beliau juga mengakui tidak memiliki asas undang-undang pada awalnya, namun usaha gigih berterusan membantu beliau menyesuaikan diri.
“Saya lebihkan membaca dan banyak bertanya. Dari situ saya mula faham dan usaha kejar rakan-rakan lain,” katanya.
Bagi Kapten Abdul Qayyum, kejayaan ini menjadi bukti bahawa tidak pernah wujud istilah ‘terlambat’ untuk menambah ilmu.
“Ilmu itu boleh dituntut sampai bila-bila. Jangan rasa usia sudah lanjut. Kalau kita nak, kita kejar,” katanya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada mereka yang masih ragu untuk menyambung pengajian.
“Tepikan semua masalah. Fokus pada apa yang kita nak capai. Belajarlah sejauh mana yang boleh,” tambahnya.

Pencapaian Kapten Abdul Qayyum bukan sahaja mengharumkan nama keluarga dan pasukannya, tetapi juga membuktikan bahawa anggota tentera mampu cemerlang dalam bidang akademik di luar kepakaran asal.
UiTM melihat kisah beliau sebagai simbol ketabahan dan keazaman seorang penjawat awam yang komited terhadap pembangunan diri dan masyarakat.
Daripada medan operasi antarabangsa di Lubnan, kini beliau melangkah ke pentas konvokesyen dengan segulung ijazah -- membawa bersama kisah inspirasi bahawa setiap pengalaman hidup mampu menjadi ilham menuju masa depan yang lebih bermakna. - KitaReporters