Kampus & Pendidikan 11 Nov, 2024

Memperkasa penerbitan sastera, kreatif! UPSI komited sokong industri buku! Imbangi STEM dan TVET!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


BUKU biografi tokoh pendidikan tanah air, Allahyarham Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin sesuai dibaca warga pendidik dan murid sekolah berikutan sumbangan besarnya kepada kemajuan dunia pendidikan negara. 

Timbalan Pengarah Kanan, Kluster Dasar, Kualiti dan Penghasilan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Norhayati Ab Wahab, berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sempena Majlis Perasmian Pesta Buku UPSI Ke-19 dan Pelancaran Buku Biografi Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, Pelopor Pembaharuan Pendidikan Negara, anjuran Penerbit UPSI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah pada 7 November 2024.


Norhayati Ab Wahab (empat dari kanan) bersama Wan Shazerina Izlin Wan Mohd Zahid (enam dari kiri) selepas menyempurnakan majlis perasmian. 


“Dari era SITC ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) ke Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) hinggalah ke UPSI, kegiatan sastera menyokong industri kreatif di negara ini.

“Penerbit UPSI berperanan meneruskan legasi pemerkasaan penerbitan sastera dan penulisan kreatif sebagai gedung perbukuan seperti zaman Pejabat Karang Mengarang sekitar 1920-an,” katanya.

Beliau berkata, menyedari roh sastera boleh menyokong industri kreatif tanah air selain membentuk jati diri dan anak bangsa, subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif di sekolah sangat perlu supaya seimbang dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Jelasnya, subjek itu sangat dekat dengan masyarakat dan mampu mengubah sebuah peradaban selain memupuk nilai dan membina akhlak yang baik dalam kalangan pelajar sekolah.


Norhayati (tiga dari kanan) menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Buku UPSI Ke-19 dan Pelancaran Buku Biografi Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, Pelopor Pembaharuan Pendidikan Negara di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.


“Buku biografi ini menempa sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Buku Negara 2023 dalam kategori Pengajian Tinggi: Biografi Terbaik di Majlis Anugerah Buku Negara 2023 bertempat di WTC, Kuala Lumpur pada 22 Disember 2023 dan pada 6 November 2024, buku ini menempa kejayaan lagi apabila menerima Anugerah Penerbitan Buku sempena Anugerah Akademia Bitara 2023.

“Buku Biografi Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, Pelopor Pembaharuan Pendidikan Negara tulisan Prof Dr Abdul Halim Ali, Prof Madya Dr Ghazali Din dan Ahmad Jannatul Firdaus Dzulkarnain itu sesuai menjadi bahan bacaan warga pendidik dan murid di sekolah seluruh negara.

“Inisiatif ini adalah satu permulaan bagi kerjasama antara KPM dengan UPSI dalam usaha mengetengahkan biografi mantan kepimpinan pendidikan yang pernah mencorakkan pendidikan negara,” ujar beliau. 


Prof Abdul Halim Ali (dua dari kanan) menyerahkan buku tulisannya bersama Dr Ghazali Din (kanan) dan Ahmad Jannatul (kiri) kepada Wan Shazerina Izlin.


Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata UPSI sentiasa bersedia untuk menjalin kerjasama bersama KPM dalam memartabatkan lagi sistem pendidikan di Malaysia. 

Menurutnya, UPSI dan KPM umpama satu keluarga besar yang mempunyai pertalian dan hubungan rapat dapat melahirkan graduan negara bagi mendidik anak bangsa di sekolah.

Tambahnya, UPSI kini menerajui usaha dalam meningkatkan pembelajaran di sekolah menerusi program sokongan pemulihan pembelajaran (PSP), ‘Home Smart Schooling’ dan ‘Revolusi Intervensi Murid Bacaan Asas dan Mengira’.

Katanya, UPSI juga menerajui kualiti pendidikan dengan menubuhkan Sekolah Swasta yang diberi nama ‘Sekolah Rendah Seri Budiman’ sebagai sekolah swasta pertama di Daerah Muallim dan ke-30 di negeri Perak.

“Penganjuran Pesta Buku Penerbit UPSI dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI bertempat di Dewan SITC, UPSI bermula 6 hingga 9 November 2024 ini menghimpunkan 26 pempamer dan terdapat pelbagai gerai jualan dan foodtruck,” ujarnya.


Norhayati (tengah) merakam kenangan bersama-sama Prof Md Amin dan tetamu kehormat pada Pesta Buku UPSI Ke-19.


Turut hadir menyaksikan perasmian majlis ini Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Abdul Rahim Razalli; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Ketua Pustakawan, Noriha Muhammad; Pengarah Pejabat Karang Mengarang UPSI, Prof Madya Dr Nordiana Hamzah; dan anak Allahyarham Dr Wan Mohd, Wan Shazerina Izlin Wan Mohd Zahid. - KitaReporters

18
17
0
7
0
You will be interested