Cikgu Stefanus Lucas dari Sabah menerima penghargaan sebanyak RM5,000 atas usaha luar biasanya dalam menggunakan muzik sebagai alat transformatif untuk memperkasa murid berkeperluan khas menerusi RISE Educator Award 2025. SK Pendidikan Khas (P) Kota Kinabalu pula menerima dana sebanyak RM50,000. - KitaReporters

Seorang pendidik berdedikasi dari Sabah, Cikgu Stefanus Lucas telah menerima penghargaan sebanyak RM5,000 atas usaha luar biasanya dalam menggunakan muzik sebagai alat transformatif untuk memperkasa murid berkeperluan khas menerusi RISE Educator Award 2025 anjuran Taylor’s College bersama unit pemerkasaan pelajarnya, The Risers.
Selain itu, SK Pendidikan Khas (P) Kota Kinabalu turut menerima dana sebanyak RM50,000 bagi merealisasikan projek pendidikan yang diilhamkan oleh beliau.
Empat finalis lain turut menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 seorang. Sekolah masing-masing juga menerima peruntukan RM10,000 bagi menambah baik kemudahan dan persekitaran pembelajaran demi menyokong pembangunan murid secara holistik dan berkesan.
RISE Educator Award 2025 menerima lebih 1,000 pencalonan dan lebih 65,000 undian awam dari seluruh negara yang mencerminkan penghargaan mendalam masyarakat terhadap para guru yang membawa perubahan di bilik darjah dan komuniti.
Cikgu Stefanus dari SK Pendidikan Khas (P) Kota Kinabalu, Sabah, yang telah mencurahkan tenaga dalam memperjuang pendidikan muzik inklusif, menjadi pelopor kepada pendekatan baharu yang lebih menyeluruh.
Beliau memanfaatkan muzik sebagai medium pendidikan untuk memperkasa murid berkeperluan khas, termasuk yang mengalami masalah penglihatan dan pendengaran.
Walaupun berhadapan kekangan sumber, beliau menubuhkan bilik muzik khas dan kumpulan muzik murid lelaki yang berfungsi sebagai pentas untuk mereka menzahirkan ekspresi diri dan bakat terpendam.

Visi jangka panjang beliau termasuk membentuk kumpulan muzik pelajar Sabah pertama yang menggabungkan alat muzik tradisional dan moden, serta membina ruang muzik khusus untuk murid orang kurang upaya (OKU) pendengaran.
Menurut Cikgu Stefanus, “Bagi sesetengah orang, muzik hanyalah sebuah hiburan, tetapi bagi murid saya, ia merupakan nadi yang menghidupkan semangat dan keyakinan diri mereka.
"Itulah caranya mereka menzahirkan perasaan, membina hubungan dengan orang lain dan percaya pada diri sendiri.
"Saya bermula dengan hampir tiada apa-apa kecuali dengan keyakinan bahawa muzik mampu mengubah kehidupan.
"Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga peringatan bahawa pendidikan inklusif tidak mustahil untuk dicapai dan setiap murid berhak untuk didengari dan diraikan.
"Penghormatan ini saya kongsi bersama mereka kerana ketabahan mereka adalah sumber inspirasi saya setiap hari.”
Guru Besar sekolah, Muhammad Hamka Eallie turut menyatakan rasa bangga beliau, berkata, “Apa yang dicapai oleh Cikgu Stefanus benar-benar luar biasa.
"Beliau telah menyemai rasa jati diri, kebanggaan dan hala tuju dalam kalangan murid kami. Beliau tidak menilai berdasarkan kekurangan, sebaliknya melihat potensi yang ada.
"Usahanya telah mengubah perspektif sekolah kami terhadap pembelajaran serta maksud sebenar pemerkasaan murid. Kesan usaha beliau sangat mendalam dan berkekalan, dan kami amat berbangga kerana usaha beliau diiktiraf di peringkat kebangsaan.”
Susulan pencalonan ditutup pada bulan Mac 2025, sepuluh orang guru bersemangat tinggi telah disenarai pendek dan dipaparkan di laman web RISE Educator untuk sesi undian awam. Lima finalis terbaik dipilih berdasarkan jumlah undian, yang menyumbang 25% kepada keputusan akhir.
Finalis tersebut ialah Mohd Nur Hifzhan Noordan (SK Sungai Passai, Sibu, Sarawak), Dr Mohd Zamri Husaini (SK Kampung Tun Razak, Melaka), Izzat Fahim Ibrahim (SK Tagibang, Kota Marudu, Sabah), Stefanus Lucas (SK Pendidikan Khas (P), Kota Kinabalu, Sabah), dan Hallsen Justin (SK Timbua, Ranau, Sabah).
Penerima RISE Educator Award 2025 telah dipilih melalui penilaian menyeluruh oleh panel juri profesional yang menyumbang 75% kepada keputusan akhir.
Mereka terdiri daripada Kartini Sahirin, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Pembelajaran, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia; Josephine Tan, Pengarah Kampus Taylor’s College; Chan Soon Seng, Ketua Pegawai Eksekutif Teach For Malaysia; dan Shawn Stanly Anthony Dass, penerima RISE Educator Award 2024.
Setiap inisiatif dinilai berdasarkan sejauh mana keberkesanannya terhadap murid, tahap inovasi yang ditampilkan, serta keupayaannya untuk dikekalkan dalam jangka masa panjang.

Majlis penyampaian anugerah ini diserikan dengan ucaptama oleh Fadzliaton Zainudin, Timbalan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam ucapan beliau, Fadzliaton berkata, “Taylor’s College sentiasa menjadi antara institusi yang menyokong pendidikan berkualiti dengan menghargai usaha luar biasa para pendidik di sekolah.
"RISE Educator Award menonjolkan bagaimana perubahan bermakna sering bermula dengan tindakan kecil yang berterusan dan penuh keprihatinan.
"KPM amat menghargai usaha Taylor’s College yang bukan sahaja menghargai guru-guru cemerlang, tetapi juga membina platform yang menggalakkan kolaborasi, mencetus inovasi dan dan menyebar amalan pendidikan berimpak tinggi demi manfaat sekolah dan komuniti.”
Josephine Tan, Pengarah Kampus Taylor’s College, berkongsi bahawa sepanjang lima tahun pelaksanaan RISE Educator Award, pihaknya menyaksikan ketabahan dan inovasi dalam kalangan guru yang memainkan peranan penting di sebalik tabir dalam memperkukuh sistem pendidikan negara.
“Para pendidik ini tidak bergantung kepada keadaan yang sempurna, sebaliknya berusaha mengoptimumkan sumber sedia ada.
"Apa yang menggerakkan mereka bukan hanya inovasi, tetapi tujuan yang mendalam dan kepercayaan terhadap murid. Malah, ramai yang melaksanakan inisiatif dengan dana sendiri tanpa mengharapkan pengiktirafan.
"Hari ini, anugerah ini bukan lagi sekadar ganjaran, tetapi telah berkembang menjadi sebuah platform yang menghimpunkan pendidik, komuniti dan pencetus perubahan untuk saling memberi inspirasi serta berkongsi impak.
"Kami yakin bahawa pelaburan terhadap pendidik merupakan pelaburan jangka panjang untuk masa depan negara."
Sejak penubuhannya, RISE Educator Award telah meraikan 18 orang pendidik dan menyalurkan lebih RM200,000 dalam bentuk geran dan sokongan pembangunan kepada sekolah di seluruh negara.
Kejayaan RISE Educator Award and Conference tahun ini (2025) diperkukuhkan melalui kerjasama strategik bersama Teach For Malaysia dan KPM, yang memainkan peranan penting dalam memastikan ketelusan penjurian serta kelulusan rasmi acara.
Persatuan Alumni Perdana Fellows turut memberikan sokongan teguh dalam memastikan kelancaran serta impak persidangan ini. - KitaReporters/kenyataan Media