Kampus & Pendidikan 20 Apr, 2023

Terima kasih Kedutaan Arab Saudi! USIM dapat anjur Majlis Khatam Al-Quran & Iftar Khadimul Haramain!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada [email protected]

Share this


Tidak sepi dari pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan yang mulia, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Pusat Islam dan Pejabat Pengerusi Lembaga Pengarah USIM baru-baru ini menganjurkan Majlis Khatam al-Quran dan Iftar Khadimul Haramain bertempat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM).

Program yang bermula seawal pukul 2.30 petang ini dimulakan dengan aktiviti gotong-royong membungkus juadah iftar dan penganjuran forum bertajuk, “Al-Quran dan Sunnah Dijunjung Membina Komuniti Sejahtera” dengan Shamsul Hakim Abd Samad serta Dr. Nidzamuddin Zakaria, kedua-duanya pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah sebagai panel. 



Sejurus itu, majlis diteruskan dengan majlis khatam al-Quran dan berbuka puasa yang dihadiri Timbalan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Dr. Saleh Ali I. Bedaiwi; Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti; serta Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Sharaani. 

Profesor Ts. Dr. Sharifudin yang ditemui turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Kedutaan Diraja Arab Saudi di Malaysia yang menjadi penaja utama dengan menyumbangkan sebanyak 1,000 pek makanan untuk berbuka puasa.



“Ramadan adalah bulan yang bermakna kepada seluruh umat Islam di mana ia juga dikenali sebagai bulan keberkatan. Setiap tahun, Iftar adalah peluang untuk mengeratkan persahabatan dengan rakan-rakan tidak kira lama dan baru, dan untuk meraikan serta berkongsi rezeki yang kita ada, terutamanya dengan rakan serta keluarga yang kurang bernasib baik.

“Ucapan tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada semua kakitangan Pusat Islam USIM dan Pejabat Pengerusi Lembaga Pengarah USIM di atas komitmen mereka dalam menjayakan majlis pada tahun ini,” jelas beliau. 

Bersama-sama pada majlis khatam al-Quran dan Iftar Khadimul Haramain ini adalah staf dan mahasiswa dari pelbagai unit beruniform antaranya Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS), Kor Siswa/Siswi Pertahanan Awam (SISPA). - KitaReporters/USIM


 

13
16
0
13
0
You will be interested