Kampus & Pendidikan 11 Jun, 2025

Santuni Insan, Anak Harapan Madani! UMT buka pintu universiti kepada anak harapan! Golongan rentan!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:anakperlis65@gmail.com

Share this

Aktiviti pelayaran memberikan pengalaman baharu kepada anak harapan, yang terdiri daripada golongan rentan.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranan sebagai institusi penggerak perubahan sosial apabila berjaya membuka ruang harapan kepada 25 peserta untuk merasai sendiri kehidupan di kampus melalui Program Santuni Insan, Anak Harapan Madani yang berlangsung selama empat hari bermula pada 31 Mei 2025 lalu.

Program ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif Eratkan Kasih, Santuni Insan 2025 yang dianjurkan pada bulan Ramadan di Kuala Lumpur yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada golongan rentan mengenai kepentingan pendidikan tinggi serta menanam semangat membina masa depan melalui ilmu.


Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain merasmikan majlis penutupan Program Santuni Insan, Anak Harapan Madani.

Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pertubuhan Jejak Jalanan dan sokongan penuh Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini turut melibatkan pelajar dari tingkatan tiga hingga lima daripada pelbagai latar belakang.

“Universiti bukan hanya tempat menimba ilmu, tetapi juga berperanan sebagai ejen perubahan sosial. Program ini membuktikan bahawa semua anak bangsa berhak bermimpi dan berjaya,” kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain.

Beliau berkata, program tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai ihsan serta dasar keterangkuman yang diperjuang oleh Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi.


Bakat dan gaya terserlah dalam kalangan peserta semasa persembahan majlis penutupan.


Masing-masing menunjukkan bakat antara mereka.


Sepanjang program, para peserta diberi pendedahan kepada peluang pengajian di UMT, lawatan ke perpustakaan, makmal, fakulti dan Hatcheri Akuatrop.

Mereka juga turut terlibat dalam aktiviti fertigasi, aquaponik dan kelulutpreneur di Serambi Niaga serta menyertai sesi kuliah dan amali bersama pensyarah UMT.

Turut menceriakan program ialah penglibatan sukarelawan daripada Gabungan Sukarelawan Siswa (GASS) dan Muslim Youth Volunteers (MYV) UMT yang bertindak sebagai mentor dan fasilitator, memberikan sokongan moral dan dorongan sepanjang program berlangsung.


Persembahan secara berkumpulan turut diadakan bagi mengeratkan hubungan antara pelajar dan peserta.


Dalam pada itu Darwish Haiqal Noor Azan, pelajar Tingkatan Lima, meluahkan rasa syukur atas peluang yang diberikan.

“Saya sangat gembira apabila menyertai program ini dan ingin belajar bersungguh-sungguh dan bercita-cita menyambung pengajian ke UMT satu hari nanti,” katanya. 

Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif seumpama itu dalam memastikan anak-anak daripada komuniti rentan turut menikmati akses pendidikan yang adil dan saksama serta mampu membina masa depan yang lebih cerah. - KitaReporters


Prof Dr. Mohd Izani (dua dari kiri) menerima cenderamata pada majlis penutupan.


Keriangan di wajah peserta dan penganjur selepas majlis penutupan. - Gambar Ikhsan: UMT.

14
9
0
9
0
You will be interested