Kampus & Pendidikan 10 Apr, 2025

Syabas Cikgu Selvaraj! Cipta rekod Malaysia! Mengajar berterusan selama 18 jam! Harumkan nama sekolah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

SMK Dato' Haji Mohd Taib di Chemor, Perak.


Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Mohd Taib (SMKDHMT), Chemor, Perak, Selvaraj a/l Selvam, 31, berjaya mencipta Malaysia Book of Record apabila berjaya melaksanakan pengajaran selama 18 jam, sekali gus bergelar Duta Guru 18 Jam.

Beliau yang juga guru opsyen Matematik dan Biologi berpengalaman mengajar selama empat tahun dan ditugaskan mengajar Matematik Tambahan, Sains dan Reka Bentuk Teknologi (RBT) di sekolah tersebut.

Cikgu Selvaraj melahirkan rasa bangga atas pencapaian peribadinya itu, sekali gus mengharumkan nama sekolah berkenaan sempena program anjuran Sektor Pembelajaran PPD Kinta Utara, SISC + Sains dan Matematik. 


Cikgu Selvaraj Selvam ketika melaksanakan aktiviti pengajaran 18 jam.


Beliau yang mencipta rekod berkenaan pada 7 Februari 2025 lalu apabila dapat bertahan selama 18 jam mengajar secara online antara pukul 8.00 pagi hingga pukul 2.00 pagi keesokannya.

Sebelum itu, beliau mencipta beberapa kejayaan apabila dinobatkan sebagai Duta Guru STEM Kebangsaan, Yayasan Petronas; Pembentang Inovasi PdP Duta Guru, Simposium Jabatan Pendidikan Negeri Perak; Anugerah Perak dalam Pertandingan Video Kreatif TVPSS; Pertandingan Green Innovation Science Project 2024 Peringkat Kebangsaan; Anugerah Ikon Guru Ko-Akademik Peringkat Sekolah; Anugerah Pengisian SSDM Terbanyak Peringkat Sekolah serta Pembahas dan Kumpulan Pemikir dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala KPPM.

Dalam tempoh 18 jam itu, beliau mengajar 200 pelajar mengenai Rumus Algebra, Poligon, Pengukuran, Statistik dan Kebarangkalian, Inovasi dan Transformasi Pengajaran Matematik.

Beliau berkata, inisiatif mencipta rekod itu bertujuan membudayakan Matematik dalam kalangan pelajar serta menarik minat murid terhadap subjek Matematik.


Cikgu Selvaraj bersama sijil Anugerah The Malaysia Book of Records yang diterimanya.


Sementara itu, Pengetua SMKDHMT, Norelawati Jawahir, berkata usaha Cikgu Selvaraj yang luar biasa itu adalah bukti nyata kepada dedikasi, kesungguhan dan komitmen yang tiada bandingannya beliau dalam bidang pendidikan.

“Mencapai rekod sebegini memerlukan keberanian untuk mencabar had diri, serta semangat juang yang tinggi dalam menghadapi cabaran yang datang, sekali gus menjadi contoh baik kepada pelajar SMKDHMT, tetapi juga kepada seluruh komuniti pendidikan di negara ini,” ujarnya.

Beliau yakin setiap idea baharu yang dikemukakan akan memberi kesan positif kepada perkembangan pelajar dan sekolah malah mendorong budaya kerjasama serta saling menyokong dalam kalangan guru, pelajar juga komuniti sekolah demi kecemerlangan sekolah.

“Sebagai seorang pemimpin, saya sentiasa berpegang kepada empat sifir Kepimpinan Madani yang berlandaskan prinsip Pemimpin Harus Memimpin, Menyokong, Mengangkat dan Menonjol.

“Saya amat menghargai sumbangan besar warga SMKDHMT dalam meletakkan nama dalam rekod sejarah Malaysia, sekali gus menyerlahkan motivasi yang memberi impak besar kepada sekolah ini dan masyarakat di sekeliling,” kata Norelawati. - KitaReporters


Cikgu Selvaraj (tengah) bersama barisan pentadbir SMK Dato’ Haji Mohd Taib. 

14
9
1
21
0
You will be interested