Kampus & Pendidikan 30 Jul, 2023

Syabas Co-opbank Pertama! Beri Bantuan Wasilah Ilmiah Fisabillah (geran penyelidikan)! Kepada 12 IPT!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Co-opbank Pertama (CBP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 12 buah institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara menerusi Program Bantuan Wasilah Ilmiah Fisabillah, iaitu Geran Penyelidikan.

Antara IPT yang menerima geran penyelidikan dari CBP adalah Politeknik Seberang Perai, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM).

Turut menerima Geran Penyelidikan tersebut adalah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Universiti Sultan Zainal Abidin (UiSZA) dan UniSHAMS.

Setiap IPT tersebut menerima geran penyelidikan sebanyak RM10,000 setiap IPT dengan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM120,000. 



Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, geran penyelidikan yang diberikan ini adalah daripada agihan wakalah zakat CBP Fasa 1 dan Fasa II yang berjumlah RM512,000.

“Diharapkan dengan geran penyelidikan yang diberikan ini ia dapat membantu IPT-IPT yang terlibat untuk terus menghasilkan graduan-graduan yang berkualiti seterusnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Insya-Allah, program-program seperti ini akan terus dilakukan pada masa akan datang dengan lebih banyak IPT yang akan menerima geran penyelidikan seperti ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada 27 Julai 2023.

Turut diadakan adalah agihan bantuan program kepada dua (2) buah IPT iaitu INCEIF University dan Institut Koperasi Malaysia (IKMA) yang menerima agihan keseluruhan sebanyak RM20,000.

Turut diadakan juga adalah agihan kepada mahasiswa IPT kepada sebelas (11) buah IPT iaitu UPM, UPNM, UPSI, UMT, UKKM, UPTM, UM, UITM, UKM, UIA, UMP yang menerima agihan keseluruhan sebanyak RM110,000.

pada majlis yang sama, CBP turut mengagihkan wakalah zakat kepada seratus (100) penerima pelajar sekolah dan tiga (3) buah masjid menerusi wakil yang hadir pada majlis berkenaan dengan agihan keseluruhan sebanyak RM75,000.

“Semoga dengan agihan wakalah zakat ini ianya akan membawa keberkatan kepada perniagaan CBP,” kata Baharom lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


Baharom Embi

18
5
0
16
0
You will be interested