Kampus & Pendidikan 27 Mar, 2024

Perkongsian budaya! UPSI perkasa bahasa, budaya Malaysia di London! Perkenal budaya etnik Sarawak!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak terus memperkukuh hubungan dua hala dengan School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London apabila menganjurkan program pendidikan kebudayaan dengan tema Malaysia Cultural Arts Programme 2024: The Bright Colour of Malaysia di universiti berkenaan pada 6 Mac 2024.

Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman ketika berucap merasmikan program itu, berkata program seumpamanya memberi impak dalam mengeratkan hubungan dua hala antara UPSI dan SOAS.

Menurut beliau, program kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) melalui Majlis Seni Sarawak (MSS) bertujuan untuk menyampaikan pengetahuan tentang kekayaan seni dan budaya etnik Sarawak selain mengangkat warisan budaya Sarawak kepada khalayak antarabangsa di SOAS. 

Sempena program itu, katanya, diadakan perkongsian kepakaran, pertukaran idea dan pameran artifak budaya, termasuk pakaian tradisional, demonstrasi permainan rakyat serta menikmati kek lapis Sarawak.


Prof Dr Md Amin Md Taff (kanan) ketika majlis menandatangani MoU bersama SOAS, di London pada 2023.


“UPSI sebagai sebuah institusi pendidikan amat komited dalam menyebarluaskan ilmu berkaitan seni dan budaya di Malaysia,” ujar Helmi Zaifura,

Beliau berkata, sebelum itu UPSI memberi fokus terhadap aspek pengajaran, penyelidikan dan perkongsian kepakaran selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pada Mei tahun lalu (2023) dengn UPSI yang diwakili Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mempromosi dan meluaskan bahasa dan budaya Melayu di Eropah.

Prof Dr Md Amin pula, berkata jalinan kerjasama dimeterai itu selaras dengan hasrat KPT dalam mengantarabangsakan pendidikan tinggi di Malaysia sekali gus berupaya mengembangkan bidang diaspora ilmu alam Melayu ke pentas dunia.

“MoU antara kedua-dua pihak memberi fokus terhadap perkhidmatan serta kerjasama dalam penyelidikan, hal pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi bagi tujuan pembangunan dan pengembangan ilmu dalam bidang bahasa Melayu,” katanya.


Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura, Dayang Mariana serta Dr. Benjamin Mugath bersama-sama pelajar yang terbabit dalam membuat persembahan.


Melalui MoU berkenaan, kata Dr Md Amin, UPSI bakal menumpukan usaha kepada perkongsian budaya, nilai-nilai dan tatasusila alam Melayu.

Dengan termeterainya MoU itu, UPSI  menganjurkan Syarahan Umum oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir pada Januari (2024) lalu bagi mengukuhkan kerjasama dalam pemerkasaan bahasa dan budaya Melayu UPSI bersama SOAS.

Selain itu, katanya, UPSI menempatkan dua pensyarah iaitu Prof. Madya Dr. Norliza Jamaluddin daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi dan Prof. Madya Dr. Samsudin Suhaili daripada Fakulti Sains Sosial sebagai sarjana pelawat di SOAS.

Kedua-dua mereka ditugaskan mengajar Bahasa Melayu tahap asas untuk pelajar yang tidak pernah mengambil bahasa Melayu, manakala tahap lanjutan untuk pelajar yang boleh berbahasa Indonesia dari pelbagai negara seperti United Kingdom, Itali, Perancis, Macau, Hong Kong, China, Afrika, Kembojadan Thailand.


Prof Madya Dr Norliza (depan) ketika sesi pengajaran.


UPSI mengambil inisatif menganjurkan Malaysia Cultural Arts Programme 2024: The Bright Colour of Malaysia dengan kerjasama MSS dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia London. 

Sebelum persembahan itu, Ketua Pengarah Eksekutif MSS, Dayang Mariana Abang Bolhassan memberi taklimat kepada penonton berkaitan elemen seni dari segi busana, alat muzik, gerak tari dan falsafah di sebalik setiap tarian yang dipersembah.

Antara tarian yang dipersembah oleh pelajar dari kelasbimbingan seni tari MSS yang membabitkan mereka dalam usia 12 hingga 14 tahun ialah Joget Melayu, Ngajat, Alu-alu, Rejang Búh, Kenjet Ngeleput dan Tarian Rampai. Persembahan diiringi alat muzik gong, tawak dan sape oleh pemuzik MSS.

Prof Dr Md Amin, berkata pelajar itu bukan sahaja berpeluang mempersembah bakat yang ada pada peringkat antarabangsa, tetapi turut didedahkan dengan institusi pengajian tinggi terkemuka dunia, iaitu University of London.

Sementara itu, Ketua Jabatan School of Languages, Cultures and Linguistics, SOAS, Dr. Benjamin Mugath menjelaskan, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi harus lebih cenderung kepada pendidikan bahasa dan budaya yang bertepatan dengan hasrat SOAS kerana menerusi program itu pelajar berpeluang untuk menimba ilmu daripada pakar seni dan budaya serta dapat mengamati tarian etnik secara langsung. - KitaReporters


Hadirin teruja menyaksikan persembahan tarian oleh pelajar daripada kelas bimbingan seni tari Majlis Seni Sarawak.

14
12
0
17
0
You will be interested