UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui Pejabat Jaringan Industri (OIL) UIAM menjalinkan kerjasama pintar dengan enam buah organisasi dalam memantapkan lagi hubungan serta jaringan industri dan akademik bagi kebaikan kedua-dua belah pihak.
Kerjasama pintar ini termeterai melalui majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) yang berlangsung secara maya.
Organisasi yang terlibat dalam kerjasama ini ialah Coretech System Co. Ltd., Global Peace Mission, Institut Jantung Negara Sdn Bhd, Muehlbauer Technologies Sdn. Bhd., Nippon Muslim Corporation dan The Trustees Of Hidayah Centre Foundation Registered.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UIAM
Dalam majlis MoU ini, UIAM diwakili oleh Rektor, Prof. Emeritus Tan Sri Dato Dzulkifli Abdul Razak. Manakala bagi pihak organisasi Coretech System Co. Ltd., diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rong Yeu-Chang; Global Peace Mission pula diwakili oleh CEO, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin; dan Institut Jantung Negara (IJN) diwakili CEO, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim.
Manakala Muehlbauer Technologies Sdn. Bhd. pula diwakili Sekar Ramasamy sebagai Pengarah Urusan; Nippon Muslim Corporation diwakili CEO, Zulkarnain Hasan Basri; dan Hidayah Centre Foundation diwakili Muhammad Fakharuddin Abdul Kudos yang juga CEO.
Menurut Rektor UIAM, inisiatif MoU yang dijalinkan ini ialah untuk merapatkan lagi jalinan kerjasama industri dan akademik dalam pelbagai bidang. Kerjasama dengan dua organisasi antarabangsa dan empat organisasi dalam negara ini adalah untuk memantapkan lagi aspek penyelidikan dan pembangunan akademik dalam menerajui ilmu pengetahuan dalam bidang kesihatan, kemanusiaan dan teknologi.
“Apa yang diharapkan ialah melalui kerjasama ini, ia akan memantapkan lagi jabatan dan pusat yang terlibat.
"Selain itu juga pihak Kulliyyah juga dapat menerima manfaat untuk para pelajar dari segi penyelidikan, latihan akademik, projek penyelidikan dan sebagainya yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” ujarnya.
Di UIAM, kulliyyah (fakulti) yang akan terlibat dalam kerjasama ini ialah Kulliyyah Kejuruteraan dan Kulliyyah Pengurusan Dan Bahasa.
Manakala pejabat dan pusat yang terlibat ialah Pejabat Jaringan Industri (OIL) dan Pusat Perkhidmatan dan Jalinan Komuniti (Censerve), Sultan Ahmad Shah Medical Centre@IIUM juga terlibat dalam kerjasama ini.
Kerjasama ini juga akan menjadi nilai tambah potensi dan bakat kepada organisasi yang terlibat memberikan penghasilan yang terbaik dalam kualiti pengajaran, pendidikan dan penyelidikan. - KitaReporters