Jazro Robotic Academy mengumumkan bahawa gandingan dua pelajar SMK Seksyen 5 Wangsa Maju, Kuala Lumpur telah berjaya meraih Gobi Innovator Award, sebuah anugerah khas Piala Jazro 2025 peringkat kebangsaan. Coding Genius Award pula dimenangi pasukan sekolah SM Islam Hira’ & Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’, Kuala Selangor. - KitaReporters
Jazro Robotic Academy mengumumkan bahawa gandingan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 5 Wangsa Maju, Kuala Lumpur -- Mohamad Afiq Shaime dan Jude Mittren Joaching Thayalan, kedua-duanya 14 tahun -- telah berjaya meraih Gobi Innovator Award, sebuah anugerah khas Piala Jazro 2025 peringkat kebangsaan pada 15 Ogos 2925 lalu.
Pasukan tersebut menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500.
Mereka memenangi anugerah ini melalui pencapaian luar biasa dalam kategori Byte Droid, apabila berjaya mengendalikan Jazrobot menggunakan bahasa pengaturcaraan baharu, Ardublock, bagi menyelesaikan semua cabaran di litar pertandingan.
Walaupun baharu mengenali Jazrobot ketika penyertaan kali pertama ini, mereka mampu menerangkan secara jelas logik dan fungsi setiap kod yang digunakan tanpa bantuan guru, sekali gus membuktikan tahap kefahaman mendalam terhadap konsep pengaturcaraan.
Ir. Dzulfarqeish Zainuddin, CEO Jazro berkata, “Kejayaan ini membuktikan bahawa apabila pelajar diberi akses kepada platform dan bimbingan yang betul, mereka mampu mencapai sesuatu yang hebat.
"Kami berbangga dengan pencapaian Afiq dan Jude, yang bukan sahaja menunjukkan kreativiti, malah daya ketahanan belajar dalam menguasai bahasa pengaturcaraan baharu.”
Menurut guru pengiring mereka, Cikgu Siti Sarah Hamin, walaupun tidak mendapat masa terpantas, kedua-dua pelajar ini berjaya menamatkan misi dalam masa yang ditetapkan, hasil latihan intensif bersama guru.
Kini mereka berhasrat untuk membuka ruang khas robotik di sekolah bagi memberi lebih ramai pelajar sekolah itu peluang mempelajari dan menyertai pertandingan seumpama ini.
Piala Jazro 2025 yang pertama kali dianjurkan telah berlangsung selama dua bulan merentasi enam zon utama negara (Sabah, Sarawak, Pantai Timur, Utara, Selatan dan Tengah), yang menghimpunkan lebih 1,200 pelajar daripada 143 sekolah.
Jazro Robotic Academy mengumumkan, seramai 319 pelajar daripada lebih 70 sekolah telah mara ke peringkat akhir kebangsaan di Rekascape, Cyberjaya.
Menariknya, sebanyak 87 buah sekolah luar bandar (61.5% daripada jumlah penyertaan) turut serta, menjadikan pertandingan ini satu langkah penting dalam usaha merapatkan jurang pendidikan STEM antara bandar dan luar bandar di Malaysia.
Pertandingan ini disertai pelajar sekolah rendah dan menengah dari zon Sabah, Sarawak, Pantai Timur, Utara, Selatan, dan Tengah, bertanding dalam kategori pengekodan dan tanpa kod.
Penyertaan meluas daripada pasukan luar bandar hingga sekolah berpengalaman di bandar membuktikan bahawa peluang STEM yang setara mampu melahirkan bakat teknologi tanpa mengira latar belakang.
Ir. Dzulfarqeish berkata, “Jazro Cup bukan sekadar pertandingan, ia adalah platform peluang saksama.
"Apabila pelajar luar bandar dan bandar berada dalam satu platform, bersaing dengan semangat dan kreativiti yang sama, memang terasa bahawa kita sedang membina generasi masa depan ekosistem berinovasi Malaysia. Itulah pengalaman kami!”
Antara sorotan utama peringkat akhir kebangsaan ialah anugerah khas yang diberikan kepada sekolah berikut:
- Coding Genius Award dimenangi pasukan sekolah luar bandar iaitu SM Islam Hira’ & Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’, Kuala Selangor, kerana menunjukkan kemahiran pengaturcaraan yang cemerlang, menyelesaikan masalah dengan cekap serta menguasai aspek pengkodan ketika pertandingan.
- Gobi Innovator Award pula diberi kepada pasukan SMK Seksyen 5 Wangsa Maju, Kuala Lumpur, atas kebolehan mereka bukan sahaja memprogram robot kompleks dengan berkesan, malah menerangkan dengan jelas dan yakin logik serta tujuan di sebalik setiap keputusan pengkodan, lalu membuktikan kefahaman dan inovasi sebenar.
Setiap pasukan tersebut terima hadiah wang tunai RM500.
Pengiktirafan lain termasuk Coding Genius Award, serta hadiah utama bagi setiap kategori pertandingan iaitu Roboblitz, Blazebot, Robot Combat, Byte Droid, Storm Code, dan Game of Drone Mission.
Dengan sokongan Kementerian Pendidikan serta rakan-rakan penganjur, Jazro Cup terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah gerakan nasional untuk menginspirasi serta membina generasi peneraju teknologi masa depan Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media