Kampus & Pendidikan 18 Apr, 2025

Jasa, sokongan dihargai! UPSI raikan sahabat media dan rakan strategik! Bantu pacu nama universiti!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Dr Md Amin Md Taff menyampaikan ucapan ketika meraikan pengamal media dan rakan strategik pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.


Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyifatkan pengamal media dan rakan strategik sebagai individu penting yang menyumbang secara langsung kepada peningkatan nama baik universiti itu pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau berkata, media dan rakan strategik adalah tulang belakang yang banyak membantu mengangkat nama UPSI, sehubungan itu, dia menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan, jasa dan pengorbanan mereka kepada universiti itu.

Tambahnya, UPSI amat bertuah kerana dikelilingi sahabat media yang sentiasa bersama dalam menyampaikan berita dan laporan mengenai pelbagai program serta pencapaian UPSI kepada masyarakat umum. 

“Saya tidak pernah lupa bahawa media ialah sahabat perjuangan kita, mereka membantu membawa suara serta wajah UPSI ke seluruh pelosok tanah air, bahkan ke luar negara. Inilah bukti nilai kepercayaan dan tanggungjawab yang dikongsi bersama,” ujarnya.


Wakil KitaReporters menerima sijil penghargaan daripada Dr Md Amin.


Dr Md Amin berkata demikian dalam ucapannya ketika meraikan pengamal media dan rakan strategik dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung meriah di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, pada 15 April 2025.

Majlis anjuran Bahagian Komunikasi Korporat UPSI itu turut dihadiri Timbalan-timbalan Naib Canselor, dekan-dekan fakulti, ketua-ketua pusat tanggungjawab, dan wakil media serta agensi rakan strategik.

Beliau juga menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian UPSI yang kini semakin dikenali bukan sahaja sebagai universiti pendidikan unggul, tetapi juga sebagai pusat pembangunan holistik pelbagai bidang.

“UPSI hari ini bukan lagi hanya sebuah institusi, tetapi sebuah jenama pendidikan yang diyakini, ia adalah hasil kerja keras semua dari segenap warga universiti, rakan strategik dan tentunya media.

“Di UPSI, kami sentiasa menghargai dan meraikan sahabat media dan rakan-rakan strategik yang menjadikan UPSI sebuah universiti yang terkemuka,” jelasnya.


Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Ghazali Din (tengah) merakamkan kenangan bersama wakil pengamal media KitaReporters dan Harian Metro.


Dalam pada itu, Md Amin turut berkongsi perkembangan semasa universiti termasuk pembangunan kemudahan seperti UPSI Adventure Park, Scholar’s Suites, UPSI Sport City, kolam renang bertaraf Olimpik, gelanggang boling 24 lorong, Tasik Banjaran dan UPSI Glamping Park yang bakal siap tidak lama lagi.

Tambah beliau, UPSI juga bakal memiliki dewan solar yang akan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 23 April 2025.

UPSI kini juga menjadi pilihan ramai selebriti tanah air untuk melanjutkan pengajian menerusi APEL, antaranya Datuk Nash dan terbaharu, Tomok, pelakon Zulkifli Ismail serta Amerul Affendi.

“Majlis seumpama ini dapat menjadi platform untuk memperkukuh hubungan strategik antara UPSI dan media dalam menjulang kecemerlangan universiti.

“Terima kasih atas segala kasih sayang yang diberikan kepada UPSI tercinta, majlis ini bukan sekadar beraya, tetapi lambang penghargaan tulus daripada kami kepada media dan rakan strategik,” ujarnya. - KitaReporters


Dr Md Amin (barisan belakang, berdiri di tengah) merakamkan kenangan bersama pengamal media dan rakan strategik.

22
15
0
8
0
You will be interested