Kampus & Pendidikan 30 Apr, 2025

Diari Mama Masscom| Nasihat seorang mama! Bagi mereka yang bakal mulakan kehidupan jadi mahasiswa!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Universiti Teknologi MARA


Universiti adalah impian ramai remaja terutama mereka yang berada pada peringkat sekolah menengah. Perjalanan dan pengembaraan kehidupan di universiti bermula apabila mereka terpilih menjadi mahasiswa dan mahasiswi universiti tertentu. 

Saat itu bukan sahaja membanggakan keluarga dan diri mereka sendiri, malah pelbagai azam dan janji turut dibuat. Sesi minggu suai kenal atau lebih dikenali minggu orientasi merupakan cabaran pertama yang terpaksa ditempuh pelajar baharu. 

Dalam masa seminggu, itu pelajar didedahkan mengenai selok-belok dan kehidupan sebagai mahasiswa dan mahasiswi serta maklumat mengenai kursus fakulti dan universiti.

Bagi pelajar lepasan SPM, STPM dan yang setara, persekitaran dan pembelajaran pada peringkat universiti amat berbeza daripada di sekolah. 

Universiti Malaya


Peralihan dari pendidikan menengah ke pendidikan tinggi adakalanya menyebabkan satu kejutan budaya kepada mereka. 

Di universiti, survival adalah perkara utama yang harus menjadi pegangan mereka. Hidup di universiti perlu banyak berdikari dan semuanya dilakukan sendiri. Tidak ada ibu atau ayah serta saudara mara yang boleh membantu kehidupan mereka di universiti. 

Semangat survival harus tinggi dan mereka juga mesti kuat dari segi fizikal dan mental bagi mengharungi pelbagai cabaran yang bakal mereka hadapi pada peringkat universiti. 

Tidak dinafikan dalam mengharungi dunia baru di kampus, adakalanya emosi pelajar mudah terusik. Berjauhan dengan keluarga dan berada di tempat asing akan membuatkan mereka sentiasa terkenangkan kampung halaman.  

Perkara yang sering melanda pelajar baharu ialah mengenai `homesick’ atau rindu keluarga dan kampung halaman. Tidak hairanlah ada pelajar yang sanggup balik ke kampung halaman mereka setiap minggu semata-mata kerana terlalu rindu pada keluarga dan sahabat-handai yang ditinggalkan. 

Kalau mereka belajar di Shah Alam, pulang ke Melaka atau Negeri sembilan setiap minggu tidaklah menghairankan. Tetapi ada antara mereka yang tinggal di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sanggup pulang ke kampung setiap minggu. 

Keadaan ini adakalanya menyebabkan mereka letih dan tidak dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

Apabila kuliah bermula antara cabaran yang dihadapi pelajar ialah pengurusan masa. Mereka perlu bijak mentadbir masa dalam kehidupan dan menghadiri kuliah yang sangat padat waktunya. 


Universiti Putra Malaysia


Pada peringkat universiti, tempoh satu semester sangat pendek iaitu antara tiga ke empat bulan sahaja. Mata pelajaran yang ditawarkan pula banyak, antara tujuh hingga sembilan mata pelajaran. 

 Disebabkan itu, masa amat berharga bagi pelajar universiti, mereka perlu bijak mengurus masa dengan baik. Adakalanya kuliah bermula dari pagi dan tamat sebelah petangnya. Sabtu dan Ahad pula ada kelas kokurikulum dan aktiviti lain seperti Kemahiran Insaniah. 

Pendek kata, hidup sebagai pelajar universiti sentiasa sibuk dan mereka adakalanya tidak mempunyai masa untuk bersenang-senang pada waktu senggang. 

 Mendisiplinkan diri untuk hadir ke kuliah setiap hari, selain menyiapkan tugasan pada waktu yang ditentukan dan menjaga kesihatan amat penting bagi pelajar universiti. 

Jika mereka gagal menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu mereka akan ketinggalan banyak perkara dan menyebabkan ada antaranya tidak mampu meneruskan pengajian dan menyerah kalah sebelum berjuang.  

Di universiti juga pelajar perlu membina rangkaian kawan-kawan baharu dan perhubungan dengan rakan sekelas, sekolej atau satu asrama dan mereka yang sama dalam pesatuan. 

Mereka perlu bijak berkomunikasi dan berinteraksi sesama rakan sebaya dan tidak menjadi sepert 'katak dibawah tempurung' yang tidak tahu perkembangan di kelas, fakulti mahupun universiti. Mereka digalakkan menyertai persatuan dan tidak mengamalkan sikap anti sosial. 

Hubungan Interpersonal yang baik dapat menjalin persahabatan dengan ramai rakan baru termasuk pelajar senior selain mencambah minda dan menjadikan mereka lebih positif menghadapi alam baru dalam kampus.


Universiti Sains Malaysia


Dalam kaitan yang sama, rakan sebaya memainkan peranan penting membentuk sahsiah dan sikap seseorang mahasiswa dan mahasiswi. 

Kita biasa mendengar ungkapan ini, kawan mencerminkan siapa diri kita. Sama juga dengan perumpamaan ini, 'andai berkawan dengan penjual wangian, kalaupun kita tidak memakainya kita juga dikatakan berbau wangi. Sebaliknya jika kita berkawan dengan pengimpal besi, kalaupun kita tidak melakukan pekerjaan itu, pasti percikan api dan besi terkena pada kita'. 

Umpamanya kita berkawan dengan rakan yang sangat malas bangun pagi dan sentiasa suka ponteng kelas, mereka juga tidak kisah dimarahi pensyarah jika tidak menyiapkan tugasan, akhirnya kita akan terikut-ikut perangai rakan kita tadi dan rasa selesa kerana ada rakan yang sama tidak kekuliah dan sebagainya. 

Justeru apa yang ingin dijelaskan disini ialah memilih siapa kawan kita di universiti adalah perkara yang amat penting.  Jika tersalah pilih kawan, matlamat utama menjadi pelajar universiti dan menimba ilmu untuk masa depan yang cerah mungkin tidak tercapai. Malah cita-cita menggenggam segulung diploma atau ijazah mungkin tidak kesampaian dan akan hanya tinggal kenangan. 

Kawan yang baik akan menasihatkan dan selalu mengajak ke arah kebaikan. Jika sudah tersalah langkah, seharusnya pelajar memikirkan kesusahan ibu dan ayah yang ada antaranya terpaksa bergolok bergadai demi menghantar anak-anak ke Universiti. 

Buat pemilihan yang bijak dan tanamkan satu tekad dan azam yang kuat untuk menghabiskan pengajian walau apapun cabaran yang mereka hadapi di universiti. Selain pemilihan rakan, adakalanya pelajar menghadapi kesukaran dalam bidang yang mereka pelajari.


Universiti Perguruan Sultan Idris


Cabaran seterusnya  yang adakalanya menjadi cabaran kepada pelajar baharu dan pelajar lama ialah sikap pensyarah. 

Sikap tertutup pensyarah yang sukar difahami pelajar, secara tidak langsung membuatkan pelajar rasa tertekan untuk menghadiri kuliah. Pensyarah cerewet, tidak boleh berlebih kurang, terlalu ego adalah antara rungutan pelajar. 

Sebenarnya semua ini tidak akan menjadi masalah besar kepada pelajar jika mereka bijak berinteraksi dengan pensyarah. Mereka ini (pensyarah) manusia biasa dan pelajar seharusnya berfikiran positif serta cuba mendekati pensyarah untuk berinteraksi secara berhemah dan menjalani proses penyaluran ilmu yang lebih mesra dan memberi manfaat. 

Jika pelajar bijak mengambil hati pensyarah seperti sentiasa datang awal ke kuliah, tidak pernah ponteng, membuat tugasan yang diberikan dengan bersungguh-sungguh pasti mereka tidak akan menghadapi masalah dengan pensyarah. 

Oleh yang demikian, bagi mereka yang bakal bergelar mahasiswa dan mahasiswi universiti lengkapkan diri anda dengan kekuatan rohani dan jasmani yang dapat membantu anda mengharungi dunia baharu di kampus dan universiti, sebagai langkah pertama merancang masa depan yang cemerlang. 

Sentiasa berfikiran positif, mendisiplinkan diri dan jangan lupa lengkapkan diri dengan pegangan agama yang baik yang dapat menjadi pendinding dan garis panduan dalam perlakuan dan amalan ketika berada di universiti. 

Semoga  menjadi graduan yang berilmu dan berakhlak yang bakal meneraju negara ke  arah kesejahteraan dunia sejagat. - KitaReporters


Universiti Kebangsaan Malaysia

 

 

12
10
0
12
0
You will be interested