Kampus & Pendidikan 24 Jun, 2025

Lambang semangat, iltizam, jati diri anak cucu Felda! MARESMAF Wind Orchestra juara festival Prague!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

.



Orkestra MRSM Ulul Albab FELDA Trola, MARESMAF Wind Orchestra (MAWO) muncul juara Festival Antarabangsa Wind Orchestra Prague 2025, Republik Czech pada 22 Jun 2025.

Sehubungan itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Chik berkata, beliau ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyampaikan ucapan tahniah dan sokongan atas kejayaan MAWO itu.

"Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian dalam bidang muzik, tetapi merupakan lambang semangat, iltizam dan jati diri anak-anak dan cucu-cucu FELDA yang membuktikan bahawa impian besar mampu direalisasikan. 

"Ucapan penghargaan khusus juga ditujukan kepada Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW); Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi (KK); dan Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia atas kerjasama erat dan sokongan berterusan terhadap usaha ini," katanya dalam satu kenyataan pada 23 Jun 2025.



Shabery juga menyampaikan ucapan penghargaan kepada rakan-rakan strategik yang telah menyumbang secara langsung dalam menjayakan misi ini terutama pihak U Mobile yang serius daripada awal dalam membantu kejayaan orkestra MRSM (disebut MARESMAF) "tiupan" Felda ini. 

"Turut diraikan sumbangan dan sokongan daripada FGV Holdings Berhad, Sustainable Future Sdn Bhd, Seri Pacific Corporation Sdn Bhd, serta syarikat-syarikat lain yang turut memainkan peranan penting dalam memastikan penyelarasan berjalan dengan lancar. 

"Turut dirakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh barisan guru dan ibu bapa MRSM Ulul Albab FELDA Trolak, khususnya kepada Cikgu Raja Muzafar Shah Raja Abdullah, guru pembimbing yang tidak pernah jemu mencurahkan semangat dan bimbingan kepada anak-anak MAWO. 

"Tidak dilupakan, Dato’ Mokhzani Ismail, Pengarah Perkhidmatan Muzik RTM, seorang tokoh muzik negara yang sentiasa menjadi sumber inspirasi serta penasihat yang amat disegani," jelas beliau.

Sokongan semua pihak, katanya lagi, telah menjadi nadi kepada kejayaan ini, dan membuktikan bahawa kerjasama merentas sektor mampu mencipta impak yang mengharumkan nama negara dan FELDA di persada antarabangsa. - KitaReporters/Kenyataan Media



18
11
0
14
0
You will be interested