Kampus & Pendidikan 19 Feb, 2024

Tahniah SMKA SHAMS! Misi kemanusiaan dan perkongsian pintar di Kemboja! Eratkan ukhuwah antarabangsa!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Haji Mohd Said di Seremban (SMKA SHAMS) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan program Misi Kemanusiaan dan Perkongsian Pintar ke Kemboja, pada 27 dan 28 Januari 2024 lalu. 

Program itu disertai oleh lapan orang guru serta dua murid sekolah berkenaan dan turut disertai empat ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Jutawan Akhirat Masbukti (JAM) Negeri Sembilan.

Dalam misi itu, delegasi mengunjungi Sekolah Agama Anwer Hunsen untuk menyerahkan bantuan kewangan, pakaian, alat tulis, buku, makanan ringan dan lain- lain lagi iaitu sumbangan orang ramai yang berjaya dikumpulkan oleh JAM dan SMKA SHAMS.

Bagi sesi perkongsian pintar pula, SMKA SHAMS telah memilih Madrasah Sulaimaniyyah Cambodia sebagai sekolah untuk membentangkan topik yang berkaitan dengan amalan terbaik sekolah berkenaan sesuai untuk terap di pusat pengajian agama itu.

Paling menggembirakan ialah delegasi misi berasa bertuah apabila diraikan oleh Duta Besar Malaysia di Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim pada sesi makan malam dan santai bicara di Restoran Wau Phnom Penh.


Peserta misi bergambar bersama Eldeen Husaini Mohd Hashim dan isteri.


Ketua delegasi misi berkenaan, Guru Penolong Kanan Kokurikulum (GPK) SMKA SHAMS, Rosiah Othman, berkata misi kemanusiaan dan perkongsian pintar yang julung kali diadakan itu mendapat kerjasama erat daripada banyak pihak berjalan dengan lancar serta mencapai objektif.

Objektif program berkenaan ialah membantu sekolah saudara seagama di luar negara yang menghadapi masalah dan serba kekurangan membabitkan pelbagai bentuk seperti dari segi kelengkapan serta kemudahan pembelajaran.


Peserta misi kemanusiaan dan perkongsian pintar merakam kenangan bersama pengetua dan pelajar Madrasah Sulaimaniyyah Cambodia. 


Menurutnya, perkara utama yang paling penting ialah program itu merapatkan hubungan sekolah dua negara, dapat membantu masyarakat seagama yang memerlukan bantuan, berkongsi rezeki dan amalan terbaik di sekolah untuk dijadikan panduan serta rujukan

Tambahnya, selain untuk merapatkan ukhuwah antara sekolah agama dua negara, turut menjadi fokus dalam misi itu di samping memupuk nilai iaitu dalam setiap diri manusia perlu diperteguh dalam pelbagai bentuk, justeru program berkenaan dirancang dan diatur selari dengan matlamatnya.

“Mengukuhkan nilai kemanusiaan dalam diri setiap peserta terutama pelajar yang menyertai misi ini  dengan kehadiran bersama peserta rombongan yang membawa bantuan diterima baik oleh warga kedua-dua sekolah itu,” ujarnya.


Rosiah Othman (kanan) melakukan gimik penyerahan sumbangan SMKA SHAMS kepada Ustaz Soleh.


Sementara itu, Pengetua Sekolah Agama Anwar Hunsen, Ustaz Soleh, menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih beliau kepada rombongan misi berkenaan serta kepada mereka berada jauh di Malaysia yang menghulurkan sumbangan.

Katanya, sekolah itu sudah lama tidak menerima sumbangan daripada pihak luar dan apabila misi berkenaan datang berkunjung seramai 435 murid berasa amat gembira menerima alat tulis, kain tudung, buku dan sumbangan-sumbangan lain daripada rakyat Malaysia.


Penyerahan tandatangan program perkongsian pintar antara Rosiah (kiri) dengan Ustaz Zul Kamal.


Pengetua Madrasah Sulaimaniyyah Cambodia, Ustaz Zul Kamal pula turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada misi berkenaan terutama guru SMKA SHAMS kerana sudi berkunjung ke madrasah dan berkongsi amalan terbaik termasuk dalam corak pembelajaran

Jelasnya, sepanjang program dia mendapati pelbagai aktiviti yang dijalankan SMKA SHAMS yang membabitkan inovasi dan pengenalan kepada teknologi boleh diaplikasikan kepada pelajar madrasah itu di samping dapat meningkatkan daya kekuatan mental serta memberi pendedahan baharu kepada mereka.

“Saya berterima kasih kepada pihak SMKA SHAMS atas kesudian untuk berkunjung ke madrasah ini bagi menjalankan program jalinan antarabangsa yang ternyata memberi banyak manfaat,” ujarnya. - KitaReporters


Peserta misi merakam kenangan di depan pejabat kedutaan Besar Malaysia di Kemboja.

16
9
0
17
0
You will be interested