SERAMAI 40 sukarelawan pelajar Kolej Pendeta Zaaba (KPZ), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menanam 500 anak pokok hutan di Hutan Simpan Sungai Besi Tambahan anjuran Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
Program yang merupakan sebahagian daripada program ‘Zaaba Nurture Nature’ tersebut dibuat sempena Hari Alam Sekitar Sedunia melibatkan penanaman anak pokok hutan dari spesis Merawan, Kandis dan Rambai.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan alam sekitar kita
Menurut Pengetua KPZ, Prof. Madya Dr. Mohamad Azani Alias, proses pemilihan spesies dijalankan dengan kerjasama antara Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan dan UPM bagi memberi manfaat kepada persekitaran ekologi dan memenuhi usaha pemuliharaan.
“Spesis pokok dikenal pasti terlebih dahulu bagi menyesuaikan dengan lokasi penanaman bagi memastikan pokok dapat tumbuh dengan baik dan menjadikan jangka hayatnya lebih panjang,” katanya.
Dr Mohamad Azani yang merupakan pakar dalam pemulihan ekosistem perhutanan berkata sukarelawan pelajar telah diberi pendedahan dan pengetahuan tentang kepentingan pemuliharaan hutan terutama hutan dari jenis tanah pamah yang terletak di Lembah Klang ini.
Sementara itu Timbalan Pengarah Perhutanan Wilayah Persekutuan, Mohd Zaki Mat Noor berkata program yang julung kali diadakan bersama sukarelawan pelajar UPM itu akan diteruskan pada masa hadapan.
“Perancangan Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan dalam pelaksanaan Program Tanaman 100 Juta Pokok akan mewujudkan nilai altruistik (obligasi moral terhadap orang lain) dan biosentrik (tanggungjawab individu dalam memulihara alam sekitar dan ekosistem) sehingga mendorong kepada penglibatan secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha-usaha untuk memulihara hutan dan alam sekitar,” katanya. - KitaReporters/Kenyataa Media