Media merupakan rakan strategik yang penting dalam usaha untuk memposisikan USIM di mata masyarakat bagi mendukung hasrat dan agenda Universiti. Perkembangan dan kemajuan Universiti berdasarkan pencapaian dan kebolehan tinggi oleh mahasiswa/i serta kakitangan tidak akan tercapai sekiranya tidak disebarluaskan kepada seluruh lapisan masyarakat.
Sebagai menghargai dan meraikan pengamal media ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) dengan bertemakan ‘Black Rose’ telah mengadakan Majlis Bersama Media yang dihadiri pelbagai agensi dari Kuala Lumpur, Shah Alam dan Seremban bertempat di Nilai Springs Resort Hotel & Country Club di Nilai, Negeri Sembilan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan
Pengarah StraComm Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi dalam ucapannya berkata, walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh setiap organisasi dan agensi termasuk USIM di saat dunia dilanda pandemik Covid 19 2 tahun kebelakang ini, namun atas kerjasama erat pihak media, USIM tidak pernah lekang daripada terbit dan muncul dalam media-media cetak, elektronik dan portal arus perdana.
“Ini dapat diterjemahkan dan dibuktikan apabila, PR Value USIM melonjak dari tahun ke tahun (3 tahun) kebelakang sehingga ke hari ini.
"Pada tahun 2020, USIM mencatatkan PR Value sebanyak RM62 juta, meskipun berhadapan dengan pelbagai sekatan program berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diikuti pada tahun 2021 dengan jumlah PR value sebanyak RM3.6 billion dan pada tahun 2022, sehingga 13 Oktober 2022, tahun ini sahaja, USIM telah mencatatkan PR Value sebanyak RM11,914,244.87 (RM11.9 juta),” ujarnya.
Dr. Hammad berkata lagi, setinggi-tinggi ucapan terima kasih diucapkan kepada media-media yang membantu menyiarkan berita serta menaikkan lagi imej USIM di mata masyarakat, dan mengharapkan hubungan baik dan kerjasama antara USIM dan pihak media ini akan terus kekal dan dapat dieratkan lagi pada masa akan datang melalui pelbagai aktiviti bersama.
Dalam majlis yang sama turut diadakan pelancaran Coffee Table Book iaitu buku Kompilasi Keratan Akhbar Tahunan terbitan StraComm yang dirasmikan oleh Naib Canselor Prof. Ts Dr. Sharifudin Md Sharaani.
Turut hadir, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Kumpulan Berita Harian; Penolong Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) Norianti Nordin; Ketua Pengarang Siakap Keli Press Azmil Awalluddin; Pengarang Eksekutif Sinar Bestari Mariatul Qatiah Zakaria; dan Editor Portal KitaReporters, Gamal Nasir Mohd Ali; dan pihak pengurusan USIM. - KitaReporters/USIM