Tidak pernah jemu memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar yang layak, usaha dan kecaknaan alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) seharusnya diberi pujian. Tepukan gemuruh buat yang terlibat meneruskan tradisi menyumbang kepada alma mater.
Ia merupakan satu usaha yang bukan sahaja dilakukan oleh UPM malahan perlu dilakukan oleh seluruh universiti awam dan juga swasta di Malaysia dalam usaha pembangunan modal insan dan kelangsungan universiti memberikan pendidikan yang bertaraf antarabangsa kepada para pelajar.
Ketibaan Naib Canselor UPM Dato' Prof. Dr. Roslan
Sulaiman disambut oleh Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (kiri) dan
Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni (berjabat tangan).
Menerusi Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Program Tautan Kasih Alumni telah berjaya diadakan pada 26 Jun 2023, bertempat di Foyer Taklimat, Serdang, UPM.
Seramai 62 orang pelajar asnaf dan B40 menerima sumbangan wang tunai RM100 (one off) daripada alumni UPM iaitu Dr. Hamisah Hassan dan Che Wan Mohd Zuhaimi Che Wan Hussain yang telah disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman.
Sumbangan peribadi ini adalah dalam usaha untuk
membantu alma mater menyantuni pelajar yang memerlukan bantuan terutama pelajar-pelajar yang menetap di kolej kediaman sekitar kampus Serdang.
Selain sumbangan wang tunai, ARCUPM ada memberikan sumbangan komputer riba kepada pelajar asnaf yang mana juga sumbangan daripada alumni UPM. Sehingga kini sumbangan ini telah memanfaatkan lebih 20 orang pelajar yang layak.
Penerima sumbangan Tautan Kasih Alumni.
Menurut Pengarah ARCUPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie
Sujud, apa sahaja bentuk sumbangan yang diberikan oleh alumni pasti akan
disalurkan dan diserahkan kepada pelajar yang memerlukan dengan segera.
“Amanah yang diberikan oleh alumni perlu diambil
tindakan segera. Setiap sumbangan alumni tidak kira kecil ataupun besar, perlu
segera disampaikan dan diagihkan kepada para pelajar kerana alumni ingin tahu
ke mana sumbangan mereka telah disalurkan.
“Ini adalah kepercayaan yang telah diberikan oleh alumni dan setelah kepercayaan ini wujud, maka hubungan yang terjalin atas dasar ini, akan terus menjadi magnet untuk menarik alumni lain juga untuk kembali menyumbang dan terus memberi manfaat kepada universiti dan pelajar,” ujarnya.
Pelajar yang hadir untuk menerima sumbangan.
Usaha ini juga selari dengan Naratif Naib Canselor UPM 2023, iaitu ikhtiar ke-7 “Menyatu Kekuatan Alumni”.
Peranan alumni adalah aspek terpenting untuk bersama-sama membawa universiti ke arah kecemerlangan malah untuk mencapai visi UPM iaitu menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa.
Kecaknaan alumni terhadap keperluan para pelajar generasi pelapis yang bakal meneruskan visi dan misi universiti menjadikan gerak kerja ke arah kecemerlangan universiti akan menjadi lebih mudah.
Malah ia bukan kerja seorang individu tetapi kerja satu pasukan secara menyeluruh dari seluruh warga UPM termasuk alumni. - KitaReporters