Kampus & Pendidikan 12 Jul, 2024

Lisdawati sumber kejayaan Fauzi genggam diploma! Meatech turut raikan Darling, Rozie, Khalil, Afdlin!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this


"ISTERI adalah penguat semangat saya menggenggam segulung ijazah ini . Saya ada lapan orang anak, justeru saya perlu beri contoh kepada mereka sebagai ketua keluarga bahawa kejayaan boleh dicapai asalkan kita berusaha, usia bukan faktor penghalang.

"Selama dua tahun belajar di Meatech Creative Academy memang memenatkan, saya memikul tanggungjawab sebagai pelajar, suami dan ayah malah kerjaya sebagai pelakon, tapi kini saya boleh menarik nafas lega.

"Sesiapa pun, apabila meningkat usia, rasa malas nak belajar memang ada. Tapi, saya kuatkan semangat, terima kasih isteri dan anak-anak kerana semangat serta dorongan mereka," kata Muhammad Fauzi Mohd Nawawi, suami aktres Lisdawati yang meraih diploma dalam bidang Koordinasi Pengarahan Filem dari Meatech Creative Academy. 

Fauzi Nawawi bersama isterinya, Lisdawati selepas menerima  diploma dalam bidang Koordinasi Pengarahan Filem dari Meatech Creative Academy.


Selain Fauzi, artis lain yang menerima Diploma Kemahiran Malaysia ialah Nasreen Ngasri, Roziwati Mohd Rashid (Rozie Rashid) dan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Mohd Khalil Salleh.

Pelakon dan penerbit Darling Ngasri bersyukur mencapai impian memiliki diploma dalam bidang penerbitan yang diterima pada Majlis Konvokesyen Meatech 2024.

Darling atau Nasreen Ngasri, berkata dia sudah lama bertekad menyambung belajar dan memilih Meatech Creative Academy, Bangi. Dia mengambil Diploma Koordinasi Pengarahan Filem dan melalui proses pembelajaran seperti pelajar lain.

Darling (kanan) meraikan kegembiraan bersama ibunya, Habibah Jaafar selepas menerima diploma  dalam bidang penerbitan pada Majlis Konvokesyen Meatech 2024.  


"Saya mengambil  program di bawah skim Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Sumber Manusia. Universiti lain pun ada program itu tapi saya pilih kolej Meatech Bangi.

"Kelayakan saya berdasarkan pencapaian lebih 20 tahun dan pengalaman dalam industri tapi "homework" kena buat dan perlu lulus peperiksaan sebelum dapat menggenggam diploma ini," katanya.

Shahralin Abd Hamid


Sementara itu, Meatech Creative Academy serius dalam melatih dan melahirkan graduan yang berkemahiran untuk industri tempatan. Komitmen itu sudah terbukti sejak akademi itu ditubuhkan pada 2009.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahralin Abd Hamid berkata, Meatech sentiasa komited untuk bekerjasama dengan pihak-pihak industri, badan-badan profesional, agensi kerajaan dan persatuan-persatuan industri kreatif bagi memastikan kebolehpasaran graduan.

Beliau berkata, hal itu dapat dilihat apabila pensijilan yang ditawarkan oleh Meatech diiktiraf, sekali gus membawa graduan ke peringkat yang lebih tinggi dalam Malaysia Qualification Framework (MQF). 

Sebahagian pelajar Meatech Creative Academy menunjukkan tanda okey selepas menerima diploma mereka pada Konvokesyen Meatech 2024.


“Meatech turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran ( JPK ) selaku agensi badan persijilan yang telah memperkenal kaedah persijilan kemahiran Malaysia secara Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

“Melalui kaedah PPT ini telah memberi peluang kepada pekerja mahir negara untuk diberikan kelayakan persijilan.

“Terima kasih kepada pihak PTPK dan HRDCorp juga selaku agensi yang telah memberi peluang serta pembiayaan kepada pekerja mahir industri kreatif melalui skim Perkasa TVET dan Program RPEL (Recognition Prior Experiential Learning),” katanya selepas Majlis Konvokesyen Meatech 2024.  


Selain Darling, Rozie Rashid (kiri) turut menerima diploma sempena Majlis Konvokesyen Meatech 2024.


Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Wira Megat  Zulkarnain Omardin, merasmikan dan pengistiharaan Majlis Konvokesyen Meatech 2024. Konvokesyen itu turut memberi Anugerah Kehormat Meatech kepada pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki Aksan.

Ditanya apa istimewa majlis konvokesyen kali ke-6 itu, Shahralin berkata, ia satu konvokesyen yang luar biasa kerana graduan yang diraikan bukan sahaja daripada kelompok pelajar sepenuh masa, bahkan sekumpulan graduan daripada pekerja yang berpengalaman, berkemahiran dan profesional dalam bidang kerja masing-masing.

“Mereka ini telah dinilai tahap kemahirannya, pengalaman mereka diiktiraf dan seterusnya layak untuk dianugerahkan dengan Persijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu atau PPT,” katanya. 

Megat Zulkarnain Omardin (tengah) menyampaikan Anugerah Kehormat Meatech kepada pelakon dan pengarah filem, Afdlin Shauki Aksan sambil diperhatikan oleh Shahralin Abd Hamid (kiri) 

11
11
0
11
0
You will be interested