Kampus & Pendidikan 23 Jul, 2024

Selamat datang ke UMT! 416 pelajar baharu program Asasi dan Diploma bagi sesi 2024/2025 mendaftar!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.-komunitimadanijertih@gmail.com

Share this


UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) menerima kemasukan 416 pelajar baharu program Asasi dan Diploma bagi sesi 2024/2025.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, jumlah itu mewakili pecahan 337 orang pelajar program Diploma Asasi STEM, manakala 79 orang bagi mengikuti program pengajian jurusan Diploma Perikanan.

Katanya, mahasiswa perlu bertekad dan beriltizam dalam menimba ilmu bagi membalas jasa serta harapan ibu bapa dan seterusnya menyumbang kepada negara.


Pelajar baharu UMT melafaz ikrar


“Sebagai golongan terpelajar, anda dipandang dan diletakkan pada kedudukan tinggi oleh masyarakat. Masyarakat mengharapkan anda menjadi pewaris kepimpinan, peneraju ekonomi, pencipta ilmu dan teknologi, ejen perpaduan dan perubahan serta sumber modal insan dalam pembangunan negara.  

“Justeru, tugas anda adalah membalas harapan mereka dengan sebaik mungkin dengan menyemai bakti demi keutuhan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ikrar Pelajar sempena Minggu Jalinan Mesra 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT.


Mohd Zamri Ibrahim


Sesi pendaftaran pelajar baharu sesi 2024/2025 turut menyaksikan wakil kaum Orang Asli yang berjaya menerima tawaran melanjutkan pengajian ke UMT.

Mohd Irwanshah Zainal, 17, bersyukur atas tawaran melanjutkan pengajian di UMT bagi sesi ini.

“Sebagai pelajar daripada kaum Orang Asli, saya amat berbangga dan saya mahu buktikan bahawa kaum Orang Asli turut boleh cipta kejayaan setanding dengan kaum-kaum lain di negara ini. Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada rakan-rakan daripada komuniti saya untuk terus berusaha mencapai impian mereka.

“Terima kasih UMT kerana memberi peluang kepada saya untuk melanjutkan pengajian di UMT dan saya akan manfaatkan peluang ini sebaiknya, insya-Allah,” katanya yang berasal dari Pontian, Johor. 

Irwanshah antara tiga orang pelajar mewakili kaum Orang Asli yang berjaya bersaing dengan ribuan calon lepasan SPM untuk menyambung pengajian di UMT dalam jurusan yang berlainan. 



UMT yang ditubuhkan sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera pada tahun 1979 untuk memberikan pendidikan tinggi dan penyelidikan dalam bidang perikanan, sains marin dan sumber alam. 

Sejak penubuhannya, UMT telah berkembang secara signifikan dan menawarkan pelbagai program dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, pengurusan dan kelautan.

Pelbagai pencapaian telah diraih UMT melalui pengiktirafan dari dalam dan luar negara seperti QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE) Impact Rankings dalam penyelidikan marin, perikanan, pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar. - KitaReporters

13
10
0
14
0
You will be interested