Gambar hiasan... UPSI yang tersergam indah di Proton City.
PELAJAR baharu Ijazah Sarjana Muda yang mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada 28 September 2024, mempunyai latar belakang yang cemerlang dari segi pencapaian akademik, sukan, kepimpinan dan kokurikulum.
Justeru, berbangga dengan pencapaian pelajar, Naib Canselor UPSI,
Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menjemput beberapa pelajar berkongsi pengalaman
mereka merangkul kejayaan dalam bidang inovasi, pencipta perisian akademik,
atlet sukan negara serta bakat kepimpinan ketika sekolah, matrikulasi dan prauniversiti.
Pada Majlis Ikrar Pelajar UPSI Ambilan September 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Prof Md Amin bersama pengurusan tertinggi universiti menyaksikan 4,195 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda melafazkan ikrar.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin.
Amin Syahmi mengetuai bacaan ikrar di hadapan pengurusan tertinggi UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Beliau berkata, majlis yang diadakan itu menjadi medium bagi
mengenali pelajar dengan lebih dekat dari segi pencapaian yang berjaya
diperolehi sebelum itu.
“Kita lihat ada pelajar yang memperoleh juara dalam
Innovator, juara dalam Tilawah Al-Quran walaupun mempunyai masalah cacat
penglihatan, ada ahli sukan, pidato dan sebagainya.
“Saya terharu dengan pencapaian pelajar baharu UPSI ini yang
sememangnya hebat dan cemerlang secara holistik, bukan semata-mata cemerlang
dalam akademik tetapi seimbang dalam segenap aspek,” ujarnya.
Prof Md Amin berpesan kepada semua pelajar supaya mengamalkan budaya UPSI iaitu budaya senyum, sapa dan salam serta sentiasa mengenang jasa ibu bapa yang banyak berjasa.
Beliau juga berharap semoga kecemerlangan yang dimiliki
pelajar dapat diteruskan sampai bila-bila supaya dapat menjadi insan yang
menjadi contoh kepada anak bangsa masa hadapan.
UPSI, katanya, sebuah universiti yang tersohor dalam melahirkan pendidik yang berbakti di seluruh tanah air demi masa hadapan anak bangsa.
Justeru, seru beliau, sepanjang pengajian Prof Md Amin mahukan pelajar sama-sama berjuang mengharumkan nama UPSI, sebuah universiti yang lengkap dengan pelbagai kemudahan kondusif serta terhampar indah di sisi Banjaran Titiwangsa.
Prof Md Amin beramah mesra dengan pelajar baharu UPSI yang memiliki pencapaian cemerlang.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyempurnakan sesi penyerahan surat tawaran Program Pembangunan Siswa SULUNG, UPSI kepada lima pelajar yang terpilih iaitu Nurul Hazwanie Badeli, Nurin Irdina Zambi, Nur Fatihah Mohammad Samsudin, Nur Aliz Airiz Kamarudin dan Nurul Ain Natasha Hasmadi.
Program itu adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi
(KPT) dalam membantu pelajar B40 menjadi individu pertama dalam keluarga
menjejaki kaki ke universiti dengan memberi penawaran pengecualian yuran
universiti.
Majlis ikrar pelajar diketuai oleh Amin Syahmi Azahar, dari program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi.
Pegawai WEZAS, Nurul Anuar Jamasan (kiri) bersama-sama Muhammad Fazlee Nor Shaidun selepas menyampaikan sumbangan.
Sementara itu, hasrat Muhammad Fazlee Nor Shaidun, 20, melanjutkan pengajian ke UPSI akhirnya menjadi kenyataan walaupun mulanya dirasakan sukar kerana masalah kewangan yang ditanggungnya.
Anak yatim piatu berasal dari Jeli, Kelantan yang ditawarkan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu itu bersyukur kisah hidupnya yang terpapar dalam media sosial mendapat perhatian pihak UPSI yang prihatin dengan nasibnya.
Muhammad Fazlee adalah lepasan tingkatan enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku, Pasir Puteh dan Maktab Rendah Sains MARA, Jeli itu hampir putus harapan kerana tidak mampu membuat persiapan dan membayar pendaftaran.
Ibunya meninggal dunia ketika usianya 41 hari kemudian diikuti ayah beliau pada usianya setahun, kemudian Muhammad Fazlee dipelihara oleh datuk dan neneknya sehingga sekarang.
Demi mengejar cita-cita, Muhammad Fazlee bekerja sambilan sebagai penghantar barang untuk mengumpul wang memasuki universiti, namun tidak mampu menampung sehingga menimbulkan kerisauan bimbang gagal mendaftar kerana pendapatannya hanya cukup untuk membeli makanan seharian sahaja.
Prof Md Amin (tengah) bergambar bersama-sama pengurusan tertinggi dan pelajar baharu UPSI Ambilan September 2024/2025.
Muhammad Fazlee yang ditempatkan penginapan di Kolej Aminuddin Baki melahirkan rasa bahagia dan seperti tidak percaya dapat menyambung pengajian serta hampir hilang harapan.
Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah
(WEZAS) UPSI, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir, berkata bersimpati dengan kisah
Muhammad Fazlee, maka UPSI memberikannya bantuan menerusi Skim Bantuan
Pendaftaran Pengajian bagi semester satu.
Muhammad Fazlee adalah antara 93 pelajar yang menerima bantuan skim bantuan pendaftaran pelajar baharu bagi kemasukan semester satu sesi 2024/25 daripada 4,195 calon yang berjaya dalam permohonan. - KitaReporters