Kampus & Pendidikan 06 Aug, 2024

Bantuan untuk asnaf pelajar terjejas banjir! UMT terima sumbangan RM64k termasuk daripada RHB Bank!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Sejumlah RM64,060 diterima oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hasil sumbangan daripada agensi korporat bagi membantu kumpulan asnaf pelajar yang terjejas akibat bencana banjir buruk tahun lalu (2023) serta kebajikan mahasiswa universiti itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, pihaknya menyediakan pelbagai inisiatif dalam usaha menjaga kebajikan pelajar khususnya ditimpa bencana.

“Kita di (Jabatan) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan pelajar bagi memastikan para pelajar sentiasa bersedia, fokus terhadap akademik tanpa sebarang gangguan mental dan emosi.

“Kepada pelajar-pelajar yang menerima sumbangan tunai banjir, semoga memanfaatkan sepenuhnya sumbangan yang diterima ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh agensi korporat serta mengalu-alukan peluang kolaborasi untuk bersama-sama menyumbang kepada generasi pemimpin negara.



Sementara itu, Ketua Bahagian Strategi dan Inovasi RHB Islamik, Roshan Jaffar menyifatkan kolaborasi strategik antara RHB Bank dan UMT penting dalam menjaga kebajikan pelajar kelestarian  ekosistem. 

“Selain sumbangan kewangan, RHB Bank juga sering mengadakan program berbentuk pemuliharaan ekosistem dan hubungan serasi antara kedua-dua agensi ini perlu dikekalkan kerana RHB Bank dan UMT mempunyai fokus yang sama dalam SDG14: Life below water,” jelasnya.

Pada majlis yang sama turut diadakan sesi penyerahan sumbangan Kad MySiswa dan majlis penyerahan sumbangan zakat kepada Pusat Islam Sultan Mahmud UMT. 

Penerima sumbangan, Nik Muhammad Amin Nik Sharifullah menzahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diberikan.

“Saya amat bersyukur dan terima kasih kepada pihak UMT dan juga kepada pihak yang menyumbang. Dengan sumbangan ni dapat meringankan beban kami sebagai pelajar sebab sewaktu banjir tempoh hari banyak barang kami yang telah rosak”.

Pelajar tahun tiga, Program Sarjana Muda Perakaunan itu antara 58 pelajar UMT terkesan akibat banjir yang melanda di beberapa kampung sekitar Kuala Nerus tahun lalu (2023). - KitaReporters/Kenyataan Media


18
11
0
13
0
You will be interested