Kampus & Pendidikan 15 Jul, 2025

Teknologi dan etika! Mahasiswa USIM perkasa kesedaran AI, keselamatan online berteraskan nilai Islam!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada prousim@gmail.com

Share this


Seramai 45 orang mahasiswa Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) daripada Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melaksanakan program libat sama masyarakat bertemakan “Teknologi Disantuni, Mengukuh Amal Beretika” di bawah inisiatif Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM) pada 24 Mei 2025 baru-baru ini.

Program bertajuk “AI-Driven Cybersecurity Through Cyber Hasanat for Sustainable Digital Communities” ini diketuai Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay, dan berlangsung di Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar (SAMSMEL) dengan penglibatan seramai 132 pelajar Tingkatan 3.



Lebih daripada sekadar aktiviti khidmat masyarakat, program ini menjadi platform memperkasa kesedaran digital dalam kalangan pelajar sekolah menengah melalui pendekatan pendidikan keselamatan siber (keselamatan online) yang menyeronokkan dan beretika.

Menariknya, inisiatif ini turut menerima pengiktirafan melalui penganugerahan Geran Sumbangan SKUM (GSS) bagi tahun 2025, sekali gus menjadikan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) sebagai penaja utama program ini.

Menurut Prof. Madya Dr. Sakinah, sokongan ini merupakan langkah proaktif dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber berlandaskan nilai-nilai Islam. 

“Melalui program ini, mahasiswa bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membina jalinan erat antara teknologi dan komuniti melalui pendekatan berasaskan nilai murni dan inovatif,” ujar beliau.



Para pelajar sekolah didedahkan dengan tiga komponen utama iaitu sesi perkongsian interaktif AI-Cyber Hasanat, papan permainan pendidikan Secure Cybercitizenship (SET) dan aktiviti eksplorasi dunia keselamatan siber secara menyeronokkan.

Melalui pendekatan ini, peserta lebih mudah memahami ancaman siber serta peranan AI dalam melindungi keselamatan digital individu dan komuniti.

Dalam ucapan perasmiannya, Pengetua SAMSMEL, Noor Haniah Wan Muhammad, menzahirkan penghargaan terhadap usaha mahasiswa USIM yang telah membawa ilmu dan kesedaran digital kepada pelajar sekolah.

“Kesedaran siber sangat penting dalam era kini, dan program seperti ini perlu diperluas bagi memastikan semua lapisan masyarakat lebih peka terhadap ancaman siber tanpa mengira usia atau latar belakang,” katanya.

Beliau turut berharap agar program ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama strategik antara USIM dan SAMSMEL dalam memperkukuh pendidikan keselamatan digital dan AI melalui aktiviti kesukarelawanan dan libat sama komuniti yang berterusan. - KitaReporters/USIM


13
16
0
11
0
You will be interested