Kampus & Pendidikan 22 Feb, 2024

Syabas empat pembahas Tamhidi USIM! Muncul naib johan Pertandingan Akhir Debat Antara Asasi 2024!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada prousim@gmail.com

Share this


Pendebat Bahasa Melayu Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya ke Pertandingan Akhir Debat Antara Asasi (PeDAA) 2024 yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Ahad,  18 Februari 2024 baru-baru ini.

Pendebat USIM terdiri daripada Nur Aina Husna Mohd Yahya dan Rabiatul Adawiyah Razali dari Tamhidi Syariah dan Undang-undang manakala Mohd Irfan Shukor dan Ilmi Haekal Mohd Hizam Fakhruddin dari Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains. Sebelum mara ke pentas akhir, USIM terlebih dahulu berjaya menempatkan diri sebagai lapan pasukan terbaik daripada 24 buah asasi dan matrikulasi pada peringkat pusingan (liga).



Pada peringkat suku akhir, USIM menewaskan pasukan bahas dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan seterusnya menidakkan kemaraan pasukan bahas dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada peringkat separuh akhir.

Membahaskan usul “Jurang Ekonomi Bukan Jurang Perpaduan” pada peringkat akhir sebagai pihak pembangkang bertemu Universiti Malaya (UM) sebagai kerajaan, sesi perdebatan yang sengit akhirnya menobatkan UM sebagai johan dan USIM sebagai naib johan dengan juri 3-2 dan margin kecil 1.67.

Pertandingan akhir yang berlangsung di Auditorium Muhyidin UMT telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Abdul Ghaffar. 

Turut hadir adalah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari; Pengerusi Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam, Prof. Madya Dr. Laili Che Ros; dan Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Prof. Sr. Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail.

Nur Aina Husna Mohd Yahya turut membanggakan USIM apabila tersenarai dalam kelompok 10 pendebat terbaik keseluruhan dalam pertandingan ini. 

Selaku naib johan, pendebat USIM membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM2,000, buku terbitan DBP, trofi dan sijil manakala UM membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM2,500, buku terbitan DBP, trofi dan sijil.



“Mara ke pertandingan akhir ini sudah satu pencapaian yang cemerlang buat pendebat Tamhidi USIM kerana ini pertandingan pertama mereka pada peringkat kebangsaan. Mereka adalah pendebat pelapis yang mempunyai potensi cerah untuk mewakili USIM dalam pertandingan debat selepas ini bersama pendebat senior. 

"Pengurusan Tamhidi merakamkan penghargaan kepada jurulatih, pendebat senior dan Kelab Debat yang membantu persiapan Tamhidi ke pertandingan ini,” ujar Mohd Zaini Othman, Penolong Pendaftar Pusat Tamhidi.

Pertandingan Debat Antara Asasi 2024 yang dianjurkan oleh Pusat Asasi STEM UMT selaku tuan rumah dilaksanakan secara hibrid iaitu peringkat saringan dan suku akhir (2-4 Februari) secara dalam talian, manakala separuh akhir dan akhir secara fizikal (16-18 Februari). 

Mempertanding dua kategori iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, pertandingan kali ini juga menyaksikan buat julung kalinya ia bekerjasama dengan rakan strategik baharu iaitu MADUM dan DBP. - KitaReporters/USIM

9
17
0
12
0
You will be interested