Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai menjadi lokasi Program Temu Anwar @ Negeri Sembilan yang berlangsung pada 24 Jun 2023 lalu dengan kehadiran kira-kira 3,000 orang pelajar universiti, politeknik dan sekolah menengah di sekitar negeri ini.
Temu Anwar ialah program dialog anak muda yang diadakan secara bersiri sejak 2009, khusus untuk orang ramai mendekati dan mengenali lebih dekat pemimpin utama negara itu.
Dalam program tersebut, beberapa isu utama sosial dan ekonomi telah dikupas oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, antaranya termasuklah untuk meneliti cadangan pembinaan hospital pengajar dan kolej kediaman pelajar di USIM yang akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang memandangkan ia merupakan keperluan mendesak di USIM.
Dalam program yang berlangsung kira-kira dua jam tersebut, Perdana Menteri turut meluangkan masa dengan menjawab pelbagai soalan yang diutarakan oleh hadirin yang merangkumi aspek akademik pengajian tinggi, sosio dan ekonomi serta meraikan pendapat semua pihak dalam sesi yang santai dan penuh harmoni.
Seluruh warga USIM turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memilih USIM sebagai lokasi Program Temu Anwar @ Negeri Sembilan yang pastinya memberikan impak serta perspektif yang berbeza terutama bagi golongan mahasiswa. - KitaReporters/USIM