Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengedarkan sebanyak 1,700 pek bubur lambuk kepada warga USIM serta komuniti setempat termasuk Balai Bomba dan Balai Polis cawangan Nilai.
Tradisi memasak bubur lambuk secara gotong-royong yang dijalankan sejak 2013, telah diterajui Pusat Sukan dan beberapa Jabatan di USIM.
Menurut Pengarah Pusat Sukan, Nur Ekmal Buhary, program yang dijalankan setiap kali menjelang Ramadan ini telah memasuki tahun ke-10. Bermula secara kecil-kecilan dari satu periuk pada tahun pertama, menjadi empat periuk besar pada tahun 2023 ini.
“Program Gotong Royong dan Edaran Bubur Lambuk Komuniti USIM 2023 kali ini mendapat sambutan dan kerjasama daripada Urusetia Sukan Rekreasi Pelajar USIM, Pusat Tanggungjawab USIM serta beberapa badan korporat iaitu Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM, Koperasi Kakitangan USIM, KRT Surau Ar-Raudah Desa Jati, Yakult, Extrajoss dan Nuaim Corporation.
“Sejak semalam (6 April 2023) lagi anggaran seramai 100 orang sukarelawan telah memulakan tugas masing-masing daripada proses penyediaan sehinggalah memasak dan membungkus.
"Kita berjaya memasak tiga periuk bubur lambuk ayam, satu periuk bubur lambuk daging, dan lebih menarik lagi, kita juga sempat membuat bubur pulut hitam untuk edaran,” ujarnya.
Proses pengedaran bubur lambuk di kawasan komuniti setempat bermula pada jam 3.00 petang di lokasi Surau Desa Cempaka Nilai dan berakhir di Balai Bomba Nilai pada 5.30 petang. - KitaReporters/USIM