Kampus & Pendidikan 18 Dec, 2023

Tahniah! Graduan sulung industri halal USIM tekad teroka bidang halal! Bukan sektor makanan sahaja!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada prousim@gmail.com

Share this


“Jangan kedekut ilmu, selalulah berkongsi kepada rakan-rakan.” 

Itulah antara nasihat ringkas Nor Afzan Azizan, 25, salah seorang daripada 61 orang graduan sulung Ijazah Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) yang telah bergraduasi pada Majlis Konveksyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-21 pada sidang kedua 12 Disember 2023.  

Nor Afzan ketika ditemui turut berkongsi perasaan teruja beliau kerana berjaya menamatkan pengajian. 

“Alhamdulillah, saya sangat seronok kerana ia adalah salah satu program akademik yang saya pilih dengan kehendak saya sendiri dan sememangnya bercita-cita untuk menjadi Eksekutif Halal yang berjaya,” katanya.  

Seawal semester pertama berada di kampus, Nor Afzan juga telah melakukan kerja separuh masa sebagai fasilitator al-Quran di Kolej Permata Insan (KPI) dan dalam masa yang sama menjadi tutor di sekitar kejiranan di Nilai.  

Beliau mengakui bukan mudah untuk melakukan semua itu dalam masa pengajiannya. 



“Hendak bahagikan masa antara belajar, berpersatuan dalam organisasi dan bekerja separuh masa merupakan satu cabaran yang amat hebat sehingga menyebabkan air mata saya mengalir, tapi ia dianggap sebagai satu dorongan pada saya untuk terus kuat,” ujarnya.  

Ketika ditanya sebab mengapa beliau berusaha bekerja separuh masa semenjak dari semester awal lagi, Nor Afzan berkata bahawa beliau tidak mahu membebankan kedua-dua ibu bapanya kerana sepanjang pengajian di USIM, beliau tidak mengambil sebarang bentuk pinjaman mahupun biasiswa pendidikan, dan semuanya ditanggung sepenuhnya oleh kedua-dua ibu bapa.  

Nor Afzan yang kini sedang bekerja di Serunai Coe Sdn Bhd sebagai Eksekutif Halal turut berkongsi pandangan beliau mengenai industri halal di Malaysia yang disifatkan sebagai bidang yang amat luas dan tidak hanya tertumpu kepada sektor makanan sahaja, bahkan lebih daripada itu.   

Mengakhiri temu bual, beliau turut berpesan agar graduan dalam bidang ini perlu bijak mengambil peluang yang ada bagi meneroka cabang ilmu industri halal terutamanya dalam merealisasikan kerjaya sebagai Eksekutif Halal. - KitaReporters/USIM

12
13
0
15
0
You will be interested