Kampus & Pendidikan 20 Jul, 2025

UIS jangan jadi universiti teori! Matangkan pemikiran, gilap keperibadian, didik jiwa murni! - Sultan

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this


SEJARAH tercatat apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengurniakan watikah pemasyhuran kepada isteri baginda sempena Majlis Konvokesyen ke-27 Universiti Islam Selangor (UIS) di Bandar Seri Putra, Selangor pada 19 Julai 2025.

Ia sekali gus bermakna Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman sah dinobatkan Canselor UIS yang pertama.

Baginda berdua tiba di Dewan Sultan Idris Shah UIS jam 9 pagi diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar.


Sultan Sharafuddin Idris Shah mengurniakan watikah pemasyhuran kepada Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Canselor UIS yang pertama sempena Majlis Konvokesyen ke-27 Universiti Islam Selangor (UIS) di Bandar Seri Putra, Selangor.


Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengerusi Lembaga Pengelola UIS, Profesor Emeritus Dr. Samsudin Abd. Rahim; dan Naib Canselor UIS, Datuk Profesor Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Pada istiadat itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyerahkan watikah pelantikan Senator Datuk Salehuddin Saidin sebagai Pro Canselor I dan Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa sebagai Pro Canselor II.

Baginda juga memasyhurkan UIS secara rasmi berstatuskan universiti penuh, dikenali Universiti Islam Selangor selain menamakan pusat konvensyen universiti sebagai Dewan Sultan Idris Shah.


Dr Mohd Farid (kanan) menyambut ketibaan Sultan Sharafuddin sempena Majlis Konvokesyen ke-27 UIS di Bandar Seri Putra, Selangor.


Selepas sesi pemasyhuran, Tengku Permaisuri Norashikin menaiki pentas Dewan Sultan Idris Shah sebagai Canselor UIS manakala Sultan Sharafuddin Idris Shah duduk di bawah bersama Amiruddin, Mohd Na'im dan Dr Zambry.

Tengku Permaisuri Norashikin yang cantik berjubah Canselor atau Chancellor's Robe, yang diperbuat daripada satin mewah berwarna hijau mengenakan topi Tudor Bonnet atau Canselor Cap daripada fabrik baldu berbentuk bulat.

Tengku Permaisuri Norashikin ternyata tidak kekok mengendalikan tanggungjawab sebagai Canselor UIS buat pertama kalinya malah istiadat menyampaikan skrol kepada 50 graduan pascasiswazah berjalan lancar dengan disaksikan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah.


Suasana dalam Dewan Sultan Idris Shah ketika istiadat Pemasyhuran dan Majlis Konvokesyen UIS ke-27.


Daripada 50 graduan pascasiswazah itu, seramai 31 penerima ialah graduan ijazah doktor falsafah dan 19  graduan ijazah sarjana.

Seramai 1,528 graduan pelbagai peringkat pengajian akan menerima skrol pada istiadat yang berlangsung secara rasmi bermula 19 Julai hingga 21 Julai 2025.


Sebahagian daripada graduan ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana yang hadir pada hari pertama Konvokesyen UIS ke-27 pada 19 Julai 2025


Sementara itu, Sultan Selangor mahu UIS menyasar bagi melahirkan generasi suka membaca, menulis,  pemikir dan karyawan yang menyumbang kepada tamadun Islam yang hebat. 

"UIS usah menjadi universiti yang hanya mementingkan ilmu pengetahuan secara teori tetapi menjadi sebuah universiti yang mematangkan pemikiran, menggilap keperibadian mulia dan mendidik jiwa murni supaya berjaya di dunia dan akhirat.

"Beta juga berkenan langkah UIS memulakan usaha sebagai Universiti Wakaf pertama di Malaysia, satu usaha mulia yang mendukung nilai keikhlasan, keberkatan dan kebersamaan.

"Beta mengharapkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berganding bahu dengan UIS bagi memastikan hasrat menjadikan Universiti Wakaf dapat diterjemahkan menjadi kenyataan," titah baginda.


Permaisuri Norashikin menyerahkan penghargaan kepada penerima Anugerah Canselor, Mohd Irfan Nadzir Mohd Zaki dari Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran.


Tengku Permaisuri Norashikin pula menzahirkan harapan agar universiti ini bukan saja mengungguli kecemerlangan akademik tapi menjadi benteng yang mempertahan nilai-nilai keislaman yang sejati dalam masyarakat yang kian mencabar identiti budaya dan pemikiran.

"Saya berharap graduan sentiasa menjunjung nama baik UIS, berakhlak mulia dan memanfaatkan ilmu untuk kesejahteraan masyarakat selain pembangunan ummah dan negara. Jadilah graduan golongan cendekiawan yang bersifat rahmatan lil alamin," katanya.

Bagi Dr Mohd Farid, beliau menyokong titah Sultan Selangor yang mempunyai semangat agar UIS menjadi Universiti Wakaf pertama di Malaysia. Malah, ia menjadi legasi pendidikan baginda yang mahu universiti itu berperanan melahirkan dai, ulama dan umarak. - KitaReporters


Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin bergambar kenangan bersama pengurusan tertinggi UIS dan penerima-penerima anugerah pelajar terbaik sempena Konvokesyen UIS ke-27. 


Sempena Istiadat Konvokesyen ke-27, UIS turut memberi anugerah kepada pelajar terbaik:

Anugerah Canselor: Mohd Irfan Nadzir Mohd Zaki, ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran.

Anugerah Menteri Besar: Siti Nur A’isyah  Ahmad Tarmizi, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Industri Halal)

Anugerah Exco Kerajaan Negeri Selangor:

Dr. Muhammad Syafee Salihin Hasan - Ijazah Doktor Falsafah Islamiyyat

Nur Dayana Mohd Khalil – Sarjana Syariah Undang‑undang

Nur Hamizah Ahmad Mahir – Ijazah Sarjana Muda Bahasa al‑Quran.

Anugerah Naib Canselor: Siti Khadijah Mohd Nasir – Diploma Pengajian Bahasa al‑Quran.

Anugerah Pengajian Sepanjang Hayat

Dr. Hassan Marzukhi – Fakulti Ekonomi, Perakaunan & Pengurusan

Dr. Siti Zaharah Hamid - Fakulti Pengajian Peradaban Islam

10
15
0
16
0
You will be interested