Kampus & Pendidikan 09 Mar, 2023

Agenda Pemerkasaan Mahasiswa! MPP UUM sambut baik saranan Menteri! Ingatkan tanggungjawab pelajar!

@corp comm uum
Kelab Mobile Journalist UUM

Share this


Oleh: MUHAMMAD IZUAN FAIZ ABDUL RAHMAN


Pemerkasaan mahasiswa bukan hanya berlaku melalui gerakan mahasiswa dalam konteks kebebasan berpolitik. Lebih besar daripada itu, bagaimana mahasiswa boleh menimba sebanyak mungkin pengalaman kehidupan yang bermakna sepanjang keberadaan mereka di kampus. 

Pengalaman inilah yang akan menjadikan mahasiswa itu lebih bersedia ke dunia realiti di luar bersama nilai kehidupan diperlukan. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)

Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman.


Hasrat ini sebenarnya terkandung dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Agenda pemerkasaan mahasiswa menjadi salah satu daripada 11 fokus utama beliau di kementerian pada tahun ini.  Melalui perutusan tersebut, YB Menteri menegaskan, pemerkasaan mahasiswa akan memberi lebih banyak tanggungjawab dan ruang membuat keputusan.

Pada peringkat UUM, saya menyambut baik apabila YB Menteri menggunakan istilah tanggungjawab, bukannya hak. Tanggungjawab memberi ingatan kepada mahasiswa bahawa mereka mempunyai amanah dan tuntutan yang perlu digalas sebaik mungkin.



Pemerkasaan mahasiswa di UUM adalah bukan satu perkara yang baharu kerana barisan kepimpinan mahasiswa sentiasa diberikan keutamaan dan kepercayaan oleh pihak Universiti khususnya Hal Ehwal Pelajar & Alumni. 

Sebagai contoh, MPP UUM diberi ruang untuk hadir ke mesyuarat Senat, penglibatan sesi libat urus dalam mesyuarat pengurusan, pengendalian program berimpak tinggi dan pelbagi lagi.

Kepercayaan ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh kami untuk membawa suara mahasiswa. Saya percaya, perkara ini akan ditambah baik dari masa ke semasa dalam kita menyahut amanat YB Menteri dalam agenda pemerkasaan mahasiswa.

Pemansuhan Seksyen 15(2)(c) AUKU dilihat memberi lebih ruang kepada pelajar universiti untuk bersuara dan terlibat dengan aktiviti politik mengikut sistem demokrasi. Kebebasan ruang dan peluang berpolitik yang diberikan mesti didukung bersama tanggungjawab.

Tanggungjawab utama pada bahu mahasiswa adalah untuk lebih memahami politik, parti, kepartian serta kebertanggungjawaban atas setiap inci niat, lisan dan tindakan yang mereka perjuang. Perlu diingat, bebas berpolitik bukan bermaksud tiada batu sempadan yang menjadi asas teguran dan bimbingan.



Mengenai pemansuhan AUKU secara menyeluruh perlu dikaji dengan lebih terperinci. Kerisauan utama adalah pemansuhan AUKU secara menyeluruh mampu menjejaskan tadbir urus universiti awam terutama sewaktu peralihan akta dan faktor pelindungan yang dikuatkuasakan.  

Akhir kata, besar harapan saya agar kebebasan yang diberikan perlu digunakan sebaiknya dengan penuh tanggungjawab dan amanah supaya ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Universiti tidak boleh biasa-biasa sahaja kerana di sinilah bakal dilahirkan pemimpin masa depan.

Mahasiswa harus membuktikan pindaan AUKU yang lebih terbuka ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menimba pengetahuan, pengalaman serta kemahiran berorganisasi demi kemajuan diri sebagai persediaan apabila tamat pengajian.

Biarlah kita menjadi pemerhati bebas dan pengimbang tara dunia politik semasa. 

Politik, adab dan ilmu umpama tiga sahabat. Tanpanya, politik tidak akan membawa berkat. Saya yakin dan percaya mahasiswa hari ini sangat rasional dan progresif dalam mendepani isu-isu semasa. - KitaReporters/UUM


Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman ialah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia Sesi 2022/2023


11
12
0
14
1
You will be interested