Peserta menyanyikan lagu UiTM, "Wawasan Setia Warga UiTM" sebelum program Forum Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Pengurusan Perkhidmatan Maklumat di UiTM Sungai Petani pada 30 April 2025 bermula.
Seramai 800 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kedah menyertai Forum Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Pengurusan Perkhidmatan Maklumat berlangsung di Dewan Perdana UiTM Sungai Petani pada 30 April 2025 bersempena Program Gerakan Membaca Peringkat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Tahun 2025.
Peserta forum itu berpeluang mengikuti perbincangan ahli panel yang terdiri daripada Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Jabatan Perpustakaan dan Sains Maklumat, Universiti Malaya (UM), Dr. Ranita Hashim Shunmugam dengan tajuk "Peranan perpustakaan sebagai pusat inovasi dan kerelevanannya terhadap sesebuah institusi”.
Ini kemudian diikuti Pensyarah Kanan, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media UiTM Kedah, Dr. Siti Khadijah Rafie dengan tajuk "Kajian dalam bidang ilmu teknologi Kecerdasan Buatan (AI) inovasi masa depan dalam perpustakaan”, manakala Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Jitra, Kedah, Mohamad Shaufi Kambaruddin mengenai "Isu cabaran dan etika penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI)”
Pensyarah Kanan Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media UiTM Kedah, Prof Madya Ts. Dr. Abd Latif Abdul Rahman pula bertindak sebagai moderator. Forum itu anjuran UiTM Kampus Kedah dengan kerjasama DBP Kuala Lumpur.
Dr. Abd Latif Abdul Rahman (kiri) menjadi moderator forum di Dewan Perdana UiTM Kedah.
Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari ketika merasmikan forum itu berkata, melalui program begini, ia berupaya meningkatkan kesedaran masyarakat dan pelajar tentang kepentingan memahami dan mengkaji bidang sains dan teknologi yang lebih relevan.
Katanya, pelajar tentu merasa diri lebih maju dan berjaya jika mempunyai ilmu berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) itu.
"Melalui perkongsian ilmu begini, ia dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat, terutama pelajar kampus Universiti dalam pelbagai bidang ke arah memberikan perubahan dalam penyelesaian masalah yang lebih cekap, tepat dan berkesan," katanya.
Peserta mendengar ceramah pada Forum Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Pengurusan Perkhidmatan Maklumat di UiTM Sungai Petani pada 30 April 2025.
Terdahulu itu, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Sultan Badlishah UiTM Cawangan Kedah, Azizah Khasim berkata, berbagai-bagai kejayaan bakal diperolehi jika semua pihak dapat menjalinkan kolaborasi untuk membincangkan satu topik yang sangat relevan dan penting pada zaman digital ini.
"Saya percaya perbincangan diadakan bakal membawa seseorang kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang potensi yang dimiliki AI dalam pengurusan perkhidmatan maklumat.
"Mari kita manfaatkan peluang ini untuk mempelajari dan meneroka kaedah baru tanpa ada sikap jemu dan bosan," katanya lagi.
Tambah Azizan lagi, forum diadakan itu bertujuan untuk menjadi platform di mana profesional, penyelidik, dan pengamal dari pelbagai latar belakang berkongsi pengetahuan, pengalaman, dan idea-idea yang inovatif bersama para pelajar Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM Cawangan Kedah. - KitaReporters
Azizah Khasim (dua kanan) menyampai cenderahati kepada Dr. Hazami Jahari selepas merasmikan forum tersebut.