
Penilaian kekuatan otot merupakan salah satu petunjuk risiko sarcopeni.
Pusat Pengajian Fisioterapi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat bertemakan "Penuaan Aktif: Memperkasa Warga Emas Melawan Sarcopenia" dengan jayanya baru-baru ini.
Program ini merupakan inisiatif di bawah SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) dan disertai oleh warga emas daripada pelbagai latar belakang dan kaum bukan sahaja dari sekitar Puncak Alam, malah ada yang datang jauh dari negeri Perak semata mata untuk menyertai program penuh bermanfaat ini.
Program ini turut mendapat tajaan daripada Care First PT dan tajaan makanan daripada Pak Ali Nasi Lemak Daun Pisang Signature, Hillpark Puncak Alam, yang menyajikan hidangan tempatan lazat untuk para peserta.
Program dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan sesi pendaftaran, diikuti saringan kesihatan yang merangkumi penilaian status sarcopenia, risiko jatuh, kekuatan anggota atas (genggaman tangan) dan bawah badan (duduk berdiri), serta tahap daya tahan (endurance) melalui ujian seperti 2 minit step test dan lain-lain.
Para peserta turut berpeluang melakukan senaman aerobik sebagai aktiviti pemanas badan sebelum mengikuti tiga ceramah utama.

Ceramah "Pengenalan Kepada Sarcopenia”
Ceramah pertama bertajuk "Pengenalan kepada Sarcopenia" disampaikan oleh Dr. Mohd Zaquan Arif Abd Ghafar, Pakar Geriatrik Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam.
Beliau menerangkan secara umum mengenai sarcopenia, iaitu keadaan kehilangan jisim otot dan kekuatan fizikal yang berlaku seiring peningkatan usia.
Ceramah ini menekankan kepentingan kesedaran awal terhadap gejala sarcopenia serta langkah-langkah pencegahan melalui gaya hidup aktif dan pemakanan seimbang.
Ceramah kedua pula disampaikan oleh Wan Syarafana Wan Jafri, wakil pelajar Semester 6 jurusan Fisioterapi, yang memperkenal jenis-jenis senaman pencegahan sarcopenia khusus untuk warga emas. Menurutnya, “Senaman bukan hanya untuk orang muda. Ia adalah pelaburan jangka panjang untuk kesihatan otot dan sendi agar warga emas dapat menjalani kehidupan yang lebih bebas dan berkualiti.”
Ceramah ketiga yang bertajuk "Pemakanan Untuk Otot Sihat" disampaikan oleh Muhammad Hazeem Na’imullah Mohammad Nazari, Pegawai Dietetik yang menekankan peranan nutrisi seimbang dalam menyokong kekuatan dan fungsi otot dalam kalangan warga emas.
“Otot memerlukan makanan yang betul seperti protein berkualiti dan mikronutrien penting. Jika pemakanan tidak dijaga, senaman sahaja tidak mencukupi,” jelas beliau sambil memperkenal contoh menu harian yang disarankan.

Ceramah "Pemakanan Untuk Otot Sihat"
Selain ceramah, peserta turut menyertai aktiviti senaman rintangan yang telah dikelolai sepenuhnya oleh para pelajar semester 6 Jurusan Fisioterapi serta bengkel pengisian buku panduan kendiri sarcopenia. Buku panduan ini dihasilkan atas usaha para pensyarah dan staf Pusat Pengajian Fisioterapi UiTM dan diberikan kepada setiap peserta sebagai bahan rujukan berterusan di rumah.
Menurut Penasihat Program, Profesor Madya Dr. Maria Justine, program ini merupakan satu langkah signifikan dalam usaha memperkasakan komuniti warga emas dengan ilmu dan kemahiran pengurusan sarcopenia.
“Kami mahu setiap peserta pulang bukan hanya dengan pengalaman, tetapi dengan pengetahuan dan panduan praktikal untuk menjaga kekuatan otot dan kualiti hidup mereka.
"Kehadiran peserta daripada pelbagai negeri dan bangsa membuktikan bahawa kesedaran tentang isu ini semakin meningkat,” katanya.

Aktiviti Senaman Rintangan Menggunakan Tali Elastik
Program yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh semangat ini diakhiri dengan jamuan makan tengah hari yang menyihatkan.
Para peserta menyatakan rasa puas hati dan berharap agar program sebegini diteruskan secara berkala.
Salah seorang peserta yang hadir turut meluahkan rasa syukur dan penghargaan atas peluang mengikuti program ini:
“Alhamdulillah... besar rahmat Allah untuk kami warga emas dan yang belum warga emas dapat menyertai program begini. Ilmu yang sangat bermanfaat.
"Semoga Allah beri ganjaran besar pada semua yang terlibat dengan program ini kepada para pelajar, pensyarah dan staf yang sangat berdedikasi.”
Penganjuran program ini sekali lagi membuktikan komitmen UiTM dalam menjunjung tanggungjawab sosial universiti serta memperkukuhkan hubungan erat antara institusi pendidikan dan komuniti melalui pendekatan ilmiah dan praktikal. - KitaReporters/Kenyataan Media

Sesi fotografi bersama para peserta program “Penuaan Aktif: Memperkasa Warga Emas Melawan Sarcopenia