
Setiap tahun Hari Guru disambut pada 16 Mei. Ketika itu kita lihat penghargaan murid-murid kepada guru-guru mereka dengan pelbagai hadiah diberikan pada guru seperti bunga, tudung, hadiah kreatif yang dibawa murid murid, disajikan dengan lagu dan puisi.
Tapi di sebalik senyuman cikgu-cikgu kita, ada satu hakikat yang makin ketara, guru zaman milenial sedang bergelut dalam tekanan yang semakin rumit. Ramai yang tidak menyedari hakikat ini.
Jadi apa sebenarnya cabaran guru zaman sekarang sehingga ada antara mereka turut mengalami kemurungan dan keletihan melampau.
Dulu, guru mengajar dalam kelas, balik rumah mereka siapkan pelan pelajaran. Walaupun banyak kerja mereka masih boleh meluangkan masa menjadi pendengar pada masalah murid-murid.
Tapi sekarang, dengan kehadiran teknologi yang canggih mereka juga perlu menjadi content creator, social media handler, kaunselor tak rasmi, pengurus data, dan menjaga kebajikan murid apabila ibu bapa yang aktif dalam WhatsApp group banyak bertanya itu dan ini dan memberi tugasan yang remeh kepada cikgu seperti mencari barang murid yang hilang, bertanya keadaan anak yang bergaduh dan macam macam lagi.
Pelajar makin ‘celik teknologi’, tapi kurang empati. Ada yang berani rakam guru dalam kelas, khususnya pelajar sekolah menengah kemudian viralkan bila tak puas hati.

Guru yang prihatin pada anak muridnya
Dalam hal ini, tekanan bukan setakat datang daripada pelajar, tapi juga daripada ibu bapa yang menuntut lebih tanpa memahami cabaran di sekolah.
Sistem pendidikan pun sering berubah, silibus bertukar, pentaksiran turut ditukar, tapi gaji guru tetap sama.
Bila guru terlalu tertekan dan burnout (keletihan melampau), ramai guru muda cepat hilang semangat. Yang tua pun sama. Lebih beruntung guru yang sudah lama bertugas, mereka ambil kesempatan bersara awal.
Ada juga yang sanggup berhenti, namun ada juga guru yang kekal tapi hati dah tawar semangat dan keikhlasan diri semakin tipis.
Dalam masa yang sama bila guru burnout, murid pun turut terkesan. Pendidikan jadi seperti sebuah kilang yang outputnya banyak tetapi tidak berkualiti.
Oleh demikian dalam isu ini, kerajaan mestilah menyediakan sokongan kesihatan mental secara aktif. Bukan tunggu guru breakdown (tekanan mental) baru nak hantar ke kaunselor.
Mereka juga mesti mengurangkan beban kerja bukan akademik guru-guru. Perlu diingat guru bukan kerani data, bukan cleaner, bukan arkitek dan sebagainya. Jika boleh, naikkan elaun kesihatan mental sebagai insentif.

Guru-guru dan murid-murid PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi) di Sekolah Bnadar Baru Salak Tinggi, Selangor
Bagi masyarakat dan ibu bapa pula, hargai cikgu bukan pada masa Hari Guru saja. Setiap hari mereka mesti dihormati sebagai orang yang berkongsi ilmu dengan kita.
Bagi ibu bapa Jangan guna media sosial untuk serang guru. Kalau ada isu, bincang secara berhemah. Jangan jadikan guru baby sitter tak rasmi. Libatkan diri dalam aktiviti PIBG dan bantu jadi ‘support system’ sekolah yang boleh meningkatkan pembangunan insan.
Tuntasnya guru "Bukan Superhero", tapi mereka penentu masa depan negara dan masyarakat.
Kita tidak boleh nak harapkan guru didik anak kita menjadi hebat, kalau guru sendiri tak dijaga kesihatannya dari segi mental dan emosi.
Hormati guru bukan sekadar dengan ucapan, tapi dengan tindakan.
Selamat Hari Guru buat semua pendidik. Dari prasekolah ke universiti. Kalian adalah nadi kemajuan negara. - KitaReporters
