Kampus & Pendidikan 12 Sep, 2024

Momen lucu tapi membanggakan! Graduan Diploma Seni Kulinari UiTM terima jambangan sayur semasa konvo!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Oleh ANNISA’ AZLAN


Antara detik yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia telah pun tiba iaitu musim konvokesyen universiti di seluruh Malaysia. 

Ini kerana akan terciptanya momen-momen indah, termasuklah momen lucu yang menjadi hiburan buat mereka yang bergelar graduan.

Pada sidang Istiadat Konvokesyen UiTM ke-99 menyaksikan detik mencuit hati, datangnya daripada seorang graduan jurusan Diploma Seni Kulinari, Hazeeman Mirza, 22 tahun, apabila dia menerima “jambangan sayur” daripada ibunya di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam.

Mesra dipanggil Haz, graduan tersebut menyangkakan bahawa jambangan yang dimaksudkan ibunya adalah jambangan bunga biasa sahaja. 

Tetapi Haz juga menjadi salah seorang daripada graduan melalui detik lucu seperti graduan yang menerima bunga cengkih dalam konvokesyen sebelum ini.

“Saya rasa sepatutnya graduan menerima jambangan bunga kebiasaannya. Tapi ibu saya ni unik sikit, tujuan dia buat jambangan sayur mungkin selepas itu dia nak minta saya masak guna jambangan sayur yang dia beri,” ulas Haz sambil ketawa.

Anak bongsu dari empat adik-beradik tersebut menambah, walaupun kedengaran agak lucu apabila ibunya menghadiahkan jambangan sayur, tetapi ia amat berharga baginya kerana ini merupakan momen unik pertama yang pernah berlaku sepanjang hidupnya.

Tambah Haz, tidak asing lagi sayur merupakan pilihan ibunya untuk dijadikan jambangan kerana jurusan yang dipilihnya sewaktu diploma. 



Tetapi akan menjadi satu pertanyaan buat Haz tentang pemberian seterusnya untuk konvokesyen akan datang, oleh kerana jurusannya sekarang berbeza daripada sebelum ini.

“Pada mulanya saya ingin kekal menyambung pengajian dalam bidang kulinari, tapi agak biasa bagi saya apabila hanya mempunyai satu kemahiran sahaja. 

"Saya memilih jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Pengiklanan) agar ia menjadikan saya seorang yang unik dan lain daripada yang lain kerana mempunyai lebih dari satu kemahiran,” ulas Haz.

Jelas Haz, dalam momen yang menghiburkan, ada makna yang disampaikan. 

Haz mengatakan jambangan sayur itu sebagai simbolik bahawa dia tidak dibenarkan sama sekali untuk melupakan apa yang telah dipelajari dalam bidang sebelumnya. 

Haz menambah, kerana ilmu berharga itulah akan membantu dia mencapai cita-citanya iaitu menjadi seorang businessman berjaya dalam menghasilkan produk makanan di Malaysia mahupun di peringkat global, selaras dengan Tema Aspirasi Perancangan Strategik UITM2025: Globally Renowned, Locally Rooted. - KitaReporters

15
18
0
11
0
You will be interested