MINGGU Suai Kenal tetap akan diadakan di universiti kerana manfaatnya yang besar kepada mahasiswa yang baru memasuki universiti.
Program seumpamanya memberi peluang kepada mahasiswa baharu
saling mengenali dan sangat membantu dalam meneruskan pengajian.
Demikian dinyatakan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri
Diraja Dr Zambry Abd Kadir ketika berkongsi pengalaman silamnya ketika memasuki
universiti sempena program ‘Catching Up
with Doc Zam’, di Dewan Muallim di Scholar Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada 5 Oktober 2024.
Program itu menjadi pentas untuk beliau berinteraksi bersama-sama
lebih 200 Rakan Millenia dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sempena Minggu
Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (Millenia).
Sesi sembang santai ‘Catching Up with Doc Zam’ itu, katanya, tidak hanya menjadi pertemuan biasa, malah menjadi satu perbualan intelektual yang bersantai tetapi penuh bermakna.
Syed Hamadah Syed Othman menyampaikan replika cek sumbangan CSR Zakat kepada kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin (dua dari kiri).
Pada program hampir sejam itu, mahasiswa UPSI berpeluang
untuk bertanya dan mendengar pandangan langsung daripada Dr Zambry, yang
membincangkan cabaran dan harapan dalam dunia pendidikan tinggi hari ini.
“Ketika saya belajar dahulu, ada rakan daripada keluarga
susah yang memiliki sifat malu yang tinggi, saya lihat dia pergi kantin membeli
nasi dan kuah sahaja kerana kesusahan,” katanya.
Justeru, kisah benar itu mendorong beliau merancang pelbagai
pendekatan kebajikan untuk membantu mahasiswa daripada keluarga susah dengan
pelbagai pendekatan.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)
mewujudkan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi membantu mahasiswa yang berada
dalam kesusahan dan menjaga kebajikan mereka di seluruh negara.
"Diakui UPSI adalah antara universiti yang paling aktif menjayakan program mobiliti pelajar dan ini antara perkara utama dari aspek pengantarabangsaan universiti.
“Sesi ini bukan sahaja memberikan peluang kepada mahasiswa memahami hala tuju pendidikan negara, malah memupuk hubungan lebih rapat antara pemimpin pendidikan dan generasi masa depan,” ujarnya.
Dr Zambry Abd Kadir (tengah) bergambar bersama pengurusan tertinggi UPSI dan barisan kepimpinan MPP Sesi 2023/2024.
Program ‘Catching Up with Doc Zam’ menjadi medan untuk mahasiswa meluahkan pandangan dan isu yang
mereka hadapi sewaktu belajar.
Selain daripada sesi perbincangan, turut diadakan acara penyerahan
sumbangan lima pelajar yang menerima bantuan pendidikan daripada YPS sebagai
dorongan dalam usaha akademik mereka.
Amirul Haiqal Amiruddin Baki mewakili Majlis Perwakilan
pelajar (MPP) menerima Geran Aktiviti MPP bernilai RM20,000 sebagai tanda
sokongan terhadap aktiviti pelajar di UPSI selain bantuan pendidikan berjumlah
RM25,000 untuk pelajar yang memerlukan.
Majlis turut menyaksikan penyerahan zakat berjumlah RM400,000 oleh Pengarah PLUS, Datuk Nik Arina Nik Jaafar dan RM350,000 disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman, iaitu sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR Zakat) untuk program pembangunan pelajar UPSI.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam
ucapan aluannya, berkata kegigihan Dr Zambry daripada anak seorang nelayan
mengharungi pengajian hingga berjaya dalam dunia politik perlu menjadi contoh
kepada mahasiswa UPSI.
Prof Md Amin berkata, itu adalah simbol komitmen korporat
terhadap pendidikan dan kebajikan mahasiswa, menzahirkan sinergi antara sektor
pendidikan dan industri.
Penghargaan juga diberikan kepada wakil Rakan MILLENIA, Muhammad
Filous Iman Arifin, yang menerima sijil penghargaan atas usaha gigih mereka
dalam memastikan kejayaan dan kelancaran program Minggu Intelaktual dan
Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman ini.
UPSI, sekali lagi, katanya, telah membuktikan peranannya sebagai
institusi pendidikan yang berdaya saing dan acara itu pasti menjadi kenangan
manis buat seluruh warga universiti.
Dengan semangat yang tinggi, seluruh dewan bersurai dengan
inspirasi baharu, bersedia menghadapi cabaran dan peluang mendatang.
Hadir sama pada program berkenaan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pro Canselor UPSI, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; serta Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman. - KitaReporters