Kampus & Pendidikan 10 Jul, 2024

Biar betik! Makan satu tan durian! Warga UPSI sertai Hari Keluarga 2024! Pupuk semangat kekeluargaan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Dr Md Amin Md Taff melakukan gimik perasmian.


SATU tan durian disediakan bersempena sambutan Hari Keluarga 2024, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, sebagai daya tarikan utama yang berlangsung di Arena, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah pada 3 Julai 2024.

Sambutan hari keluarga berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Integrasi Teras Universiti (JITU) memilih raja buah itu antara menu utama untuk dinikmati ahli keluarga kakitangan UPSI yang berkumpul di samping dapat merapatkan hubungan antara mereka. 

Hari keluarga itu juga antara program pada Majlis Peluncuran UPSI ke Arah Kampus Rendah Karbon, Revolusi Keselamatan Jalan Raya Peringkat UPSI bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2024.

Seramai 2,075 kakitangan UPSI hadir pada majlis anjuran Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dengan Kerjasama Bahagian Pengurusan Risiko Dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (ROSH), Pusat Sukan UPSI dan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) dan dirasmikan oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.


Dr Md Amin menyampaikan ucapan perasmian.


Dalam ucapan perasmian majlis itu, Dr Md Amin menyifatkan perhimpunan bulanan itu amat istimewa kerana mengadakan Majlis Peluncuran UPSI ke Arah Kampus Rendah Karbon, Revolusi Keselamatan Jalan Raya UPSI disamping menyambut Hari Keluarga UPSI serta Majlis Perasmian Karnival Sukan Staf (KIESTA) 2024 yang diadakan serentak. 

“Hari ini menyaksikan betapa ukhuwah yang terbentuk begitu lama diraikan bersama. Kita dapat lihat dalam kontinjen tanpa mengira pangkat atau gred, semuanya hadir memberikan sokongan kepada rumah sukan atau kontinjen masing-masing.

“Perkara sebeginilah yang diinginkan di universiti tercinta ini iaitu tanpa darjat, pangkat kita sebagai warna univerisiti mampu bersatu dalam sebuah keluarga serta sebagai insan yang menyayangi akan institusinya.

“Subur marakkanlah budaya ini supaya warga universiti UPSI terus bersatu,” ujarnya.  

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim Razali; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin; Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (ROSH), Prof Dr Haniza Hanim Mohd Zain serta Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Prof Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa. 


Dr Md Amin  (tengah) bersama-sama kakitangan UPSI menunjukkan durian yang menjadi tarikan Hari Keluarga 2024.


Dr Md Amin juga menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak JPPHP dan Jabatan Bendahari kerana buat julung kalinya dapat menggunakan dewan solar yang pertama di Malaysia. 

Menurutnya, penubuhan dewan solar berkenaan bertujuan menyahut seruan kampus rendah karbon atau kampus hijau.

Sementara itu, Dr Nor Kalsum, berkata FSK pada hari itu turut meluncurkan Komitmen Rendah Karbon Kampus bagi menyasarkan pengurangan pelepasan karbon UPSI sehingga 45% pada 2030 selaras dengan sasaran yang digariskan dalam Polisi SDG UPSI.

“FSK sudah merancang serta melaksanakan pelbagai inisiatif dan program di UPSI yang berteraskan kelestarian alam sekitar. Inisiatif ini adalah selaras dengan hasrat UPSI sebagai universiti yang bitara, cemerlang dalam kepimpinan pendidikan disamping meneraju perubahan global termasuk dalam aspek kelestarian alam sekitar,” katanya.


Johan Perbarisan Terbaik, Kontinjen Rahman Talib meraikan kemenangan bersama Dr Md Amin.


Pada perhimpunan bulanan itu juga, majlis Peluncuran Revolusi Keselamatan Jalan Raya di kampus oleh pihak ROSH adalah bertujuan menerapkan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya kepada kepada kakitangan dan pelajar UPSI.

Selain itu, perhimpunan berkenaan turut menyaksikan pembukaan Karnival Sukan Staf (KIESTA) 2024 yang dianjurkan oleh Pusat Sukan dan akan berlangsung selama dua minggu. KIESTA merupakan acara sukan tahunan kakitangan bagi mencungkil bakat di samping merapatkan ukhuwah dalam kalangan mereka.

Pada edisi 2024 itu, kontinjen Rahman Talib dinobatkan sebagai johan Perbarisan Terbaik di samping kontinjen Ahmad Bakhtiar dinobatkan naib juara,  manakala Kontinjen Za’ba mendapat tempat ketiga dalam acara perbarisan.

Pelbagai aktiviti diadakan pada perhimpunan berkenaan antaranya pameran daripada pelbagai agensi kerajaan, industri pemotoran dan syarikat kereta terkemuka. - KitaReporters 


Dr Md Amin (tengah) merakamkan kenangan bersama-sama kontijen KIESTA 2024.

20
5
0
13
0
You will be interested