Kampus & Pendidikan 26 Feb, 2021

Gerbang Digital Pelancongan Setiu! UMT perkasa kualiti hidup nelayan Setiu melalui pelancongan

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this


KEHIDUPAN nelayan di Negeri Terengganu yang dikategorikan sebagai golongan miskin dan tidak mampu bersaing untuk meningkatkan pendapatan hasil daripada sumber laut memerlukan sokongan dan kajian para penyelidik bagi membantu menyelesai isu yang sudah lama dihadapi golongan terbabit. 

Sehubungan itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang mempunyai kepakaran sebagai sebuah universiti yang berfokus kepada marin dan sumber akuatik, komuniti nelayan merupakan komuniti yang paling dekat di hati warga UMT.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan UMT:

https://kitareporters.com/search?search=UMT


Pensyarah UMT bersama menganjurkan Bengkel Pemindahan Ilmu bersama Komuniti Nelayan Setiu


Keprihatinan UMT untuk membantu komuniti nelayan diterjemahkan melalui Geran Translasional UMT bertajuk “Memperkasakan Kualiti Hidup Nelayan Setiu Berteraskan Aktiviti Pelancongan” adalah kesinambungan daripada kajian geran translasional sebelum ini bertajuk “Profiling Komuniti Nelayan Setiu”

Menerusi Geran Translational ini, output-output pemindahan ilmu dan rakaman video untuk mempopularkan potensi pelancongan di Setiu telah dilaksanakan.


Prof Madya Dr Mohd Nizam Lani


Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri UMT, Prof Madya Dr Mohd Nizam Lani berkata, kawasan pesisiran pantai Setiu adalah cukup bertuah kerana dianugerahkan dengan kekayaan dan limpahan sumber alam semula jadi termasuklah kepelbagaian ekosistem, flora serta fauna. 

Katanya, kawasan ini yang menganjur sejauh kira-kira 50 kilometer secara selari dengan garis pantai Laut China Selatan merangkumi pelbagai bentuk geofizikal seperti laut, pantai, sungai, muara, lagun, pulau, dataran lumpur, hutan paya bakau, hutan paya gelam, hutan pantai, hutan darat dan sebagainya. 

Dr Mohd Nizam berkata, Geran Translasional UMT  itu telah memberikan dapatan baru mengenai peluang komuniti nelayan di Setiu untuk menceburi industri pelancongan menerusi produk pelancongan.


Perkampungan nelayan Kampung Penarik di Setiu, Terengganu


“Melalui geran translasional ini, pensyarah-pensyarah UMT telah mengendalikan beberapa siri bengkel dan pertemuan bersemuka bersama komuniti nelayan bagi memahami kehendak dan keperluan komuniti nelayan dalam menambah pendapatan dan pengetahuan mengenai produk pelancongan yang boleh dikomersialkan oleh mereka,” kata Dr Mohd Nizam. 

Katanya, menerusi program pemindahan ilmu itu seramai 251 orang ahli komuniti nelayan dari 9 kampung, dari Kampung Bari sehingga Kampung Gong Batu, Setiu, Terengganu telah dipilih sebagai repondens menerusi pengedaran borang soal selidik.


Prof Madya Dr Mohd Nizam Lani (empat dari kanan) ketika melancarkan website Projek Penyelidikan Translational UMT bersama Persatuan Nelayan Setiu di Kampung Penarik, Setiu


“Hasil bengkel pemindahan ilmu yang dijalankan menunjukkan berlakunya peningkatan kefahaman komuniti nelayan mengenai industri pelancongan yang boleh diceburi oleh mereka,” katanya. 

Beliau berkata, para penyelidik UMT telah membantu komuniti nelayan di Setiu dengan kerjasama Persatuan Nelayan Setiu dalam membangunkan laman sesawang untuk mempopularkan dan melariskan produk-produk pelancongan yang diusahakan oleh penduduk Setiu.

Selain itu, katanya, para penyelidik UMT juga telah menjalankan Dokumentari Penyelidikan bersama komuniti nelayan di Setiu pada 26 dan 27 Julai 2020. 

Katanya, semua dokumentasi produk dan temu bual ini telah dimuat naik ke dalam laman sesawang untuk mempromosikan produk pelancongan yang berpotensi untuk dibangunkan dan digilap di Setiu.

Pihak komuniti seterusnya akan didedahkan berkenaan cara mengurus laman sesawang ini agar ia dapat diteruskan apabila Geran Translasional ini tamat. 

Komuniti nelayan ini akan diberikan pendedahan berkenaan selok belok pengurusan dan pembangunan laman web ke arah mempromosikan produk pelancongan mereka dengan lebih efisyen. - KitaReporters


Kredit foto: http://pelancongannelayansetiu.com/

5
0
0
0
0
You will be interested