Kampus & Pendidikan 30 May, 2025

Syabas FSKTM UPM! Kebolehpasaran Graduan 100%! Kadar Bekerja Graduan 84%! Fakulti terbaik keseluruhan!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: akmar_mm@yahoo.com

Share this


Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dinobatkan sebagai fakulti terbaik keseluruhan untuk tahun 2024, mencatatkan kadar Kebolehpasaran Graduan (GM) 100%, Kadar Bekerja Graduan (GE) sebanyak 84.1%, dan 65.4% kadar graduan yang bekerja dalam bidang pengajian mereka.

Pencapaian cemerlang ini diraikan semasa majlis perasmian program pameran kerjaya dan keusahawanan – Talent Fest & Futurepreneur 2025 (TFF2025), yang berlangsung pada 27-28 Mei 2025 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.



TFF 2025 yang dianjurkan secara bersama oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, dengan kerjasama strategik Talentbank, telah menyatukan lebih 40 syarikat dan organisasi.

Program ini menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dan penempatan Latihan Industri menjadi platform untuk pelajar dan graduan berinteraksi dengan pemimpin industri, meneroka prospek kerjaya, dan memupuk aspirasi keusahawanan.



Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Fazidah Mustafa.


Menurut Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Fazidah Mustafa, memuji komitmen UPM dalam menghasilkan graduan yang sangat boleh diambil bekerja. 

“Program seperti TFF2025 memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara akademia dan industri. Melalui program ini, pelajar dan graduan berpeluang berinteraksi dengan majikan, memahami tuntutan pasaran kerja, dan meneroka peluang dalam keusahawanan,” katanya.

Beliau turut tertarik dengan nama program ini, yang mencerminkan semangat memupuk bakat muda yang bukan sahaja berpotensi cemerlang dalam kerjaya mereka tetapi juga memiliki visi keusahawanan untuk mencipta peluang masa depan.



Mengulas mengenai kejayaan fakulti dan program ini, Pengarah CEM, Profesor Madya Dr. Hizmawati Madzin, meluahkan rasa bangganya terhadap pencapaian UPM.

“Kami amat gembira melihat FSKTM memimpin dengan kadar Kebolehpasaran Graduan 100%. Ia mencerminkan dedikasi UPM dalam menyediakan graduan yang bukan sahaja bersedia untuk bekerja tetapi juga mampu berinovasi dan memimpin dalam bidang mereka.

“Program TFF 2025 adalah penting untuk merapatkan jurang akademia dan industri, memperkasakan pelajar kami untuk merebut peluang dan membentuk masa depan mereka sebagai ‘usahawan masa hadapan’,” ujarnya.


Antara aktiviti yang diadakan ketika majlis diadakan.


UPM sebelum ini melakar pencapaian cemerlang apabila menerima penghargaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) apabila mencatatkan Kadar Bekerja Graduan (GE) sebanyak 99.7% menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), sekali gus meletakkan UPM di tangga ke-2 tertinggi dalam kalangan Universiti Awam (UA) – CEM. - KitaReporters


13
15
0
7
0
You will be interested