
Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI.
Perpustakaan tetap penting sebagai tempat penyediaan sumber maklumat dalam menyokong keperluan pembelajaran dan pengajaran.
Justeru, tidak
hairanlah apabila Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, menjadi sumber rujukan pembelajaran
bagi 20 prospek dari Penjara Kluang, Johor yang kini sedang melanjutkan
pengajian Diploma Keusahawanan Pelita Suluh Budiman Kohort 2 di bawah Fakulti
Pengurusan Ekonomi (FPE) di universiti berkenaan.
Bersempena dengan Program Perkongsian Penubuhan & Pendaftaran Perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersama pihak Penjara Kluang, semua mahasiswa dibawa ke PTB bagi mendengar taklimat oleh pengarah SSM Negeri Perak, Azurah Nor Sarif yang berkongsi maklumat berkenaan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP), Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) dan SSM BIZTRUST, pada 19 Mei 2025.

Menurut
Dekan FPE, Prof. Madya Dr Mohd Asri Mohd Noor kejayaan mahasiswa program Pelita
Suluh Budiman Kohort 1 yang bergraduat dalam Istiadat Konvokesyen UPSI kali
ke-26 pada tahun 2024 itu memberi semangat kepada pengurusan fakulti untuk
terus menyambung inisiatif itu.
Katanya,
selain itu ia bertujuan menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri
Zambry Abd Kadir serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyediakan
pendidikan tanpa sempadan (borderless education) kepada semua golongan.
Beliau
berkata, objektif utama program itu adalah untuk memberi pendedahan kepada
mahasiswa dalam aspek perniagaan dan keusahawanan, khususnya berkaitan proses
pendaftaran perniagaan yang sah di sisi undang-undang.
Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan & Keusahawanan, Dr. Suzyanty Mohd Shokor, berkata kerjasama itu adalah satu langkah strategik yang amat bermakna dalam usaha memperkasakan ilmu keusahawanan serta ianya menunjukkan bahawa ilmu, kemahiran dan peluang kedua adalah milik semua, tanpa mengira latar belakang.
“Selain
daripada itu, mahasiswa dibawa melihat sendiri koleksi buku yang menempatkan
subjek khususnya bidang perniagaan serta bagaimana suasana sebuah perpustakaan
akademik yang gah dalam menyediakan sumber bahan rujukan sama ada secara
bercetak atau elektronik.
“Mereka turut berpeluang diberi pendedahan teknik pencarian secara dalam talian. Inisiatif pemulihan berbentuk pendidikan ini adalah sebahagian daripada komitmen perpustakaan untuk mendorong pemulihan melalui literasi dan pengetahuan kendiri,” ujarnya.

Prospek bersama kakitangan Penjara Kluang yang melawat Perpustakaan Tuanku Bainun.
Ketua Pustakawan, Noriha Muhammad, pula berkata perpustakaan harus terbuka kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan prospek.
Menurutnya,
mereka juga berhak mendapat akses kepada ilmu yang boleh membantu mereka
membina semula kehidupan selepas tempoh hukuman.
“PTB optimis dan percaya akses kepada ilmu adalah kunci kepada perubahan hidup selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berdaya saing,” katanya. - KitaReporters