
Buat pertama kalinya, Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) menyerahkan sumbangan pada Majlis Sentuhan Kasih 2025 kepada pelajar-pelajar berkelayakan sempena Program Tajaan Makanan (Fidyah) Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Negeri Kedah.
Ketua Unit Baitulmal MAIK, Syeikh Muhammad Suhaimi Zulkiflee menyerahkan sumbangan sebanyak RM308,000 itu kepada Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah, Prof Dr. Roshima Said sebelum ia diperluas ke institusi pengajian lain di negeri ini.
Katanya, melalui sumbangan daripada pihak tertentu yang membayar fidyah kepada Baitulmal MAIK, ia dapat disalurkan juga kepada pelajar-pelajar di UiTM Kedah.
"Apabila kutipan fidyah terus meningkat setiap tahun, sumbangan boleh diserah kepada pihak lain pula nanti," katanya.
Menurutnya, program diadakan ini berjaya mengeratkan hubungan baik antara kakitangan MAIK dengan UiTM Kedah untuk terus menjalankan pelbagai aktiviti lain.

Syeikh Muhammad Suhaimi Zulkiflee (kiri) menyerah replika cek kepada Dr. Roshima Said sambil diperhati oleh Dr Amer Shakir Zainol dan Dr. Junaida Ismail.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Syarikat EMZI Holding Sdn. Bhd, Roslan Mohamed juga menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat EMZI kepada UiTM sebanyak RM19,050.50 sempena majlis itu yang berlangsung di Dewan Perdana UiTM Kampus Kedah, di Sungai Petani pada 20 Mei 2025.
Sumbangan diberikan itu bagi menjelaskan yuran pelajar kurang berkemampuan, termasuk peralatan dan makanan melalui Projek EMZI-HEA Community Pantry.
Ketika berucap di majlis itu, Dr. Roshima mengucapkan terima kasih kepada pihak berkenaan kerana menghulur sumbangan amat bermakna itu.
Katanya, pelajar sering diuji dengan pelbagai cabaran, termasuk kesukaran kewangan yang boleh menjejaskan tumpuan dan semangat masing-masing.
"Sumbangan diberikan untuk 550 pelajar itu menjadi bukti bahawa pelajar tidak diketepikan malah terus disantuni institusi agama dan sektor korporat di negeri ini dan keprihatinan pihak tersebut, melambangkan semangat ukhuwah Islamiah dan nilai kemanusiaan yang luhur," katanya.

Roslan Mohamed (tengah) menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat EMZI kepada pelajar UiTM pada Majlis Sentuhan Kasih 2025 pada 20 Mei 2025.
Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) UiTM Shah Alam, Profesor Dr. Amer Shakir Zainol ketika merasmikan majlis itu berkata, langkah diambil oleh Baitulmal Kedah dan EMZI menghulurkan sumbangan boleh dicontohi oleh pihak lain.
Menurutnya, pelajar yang ada kesabaran, sanggup berkorban serta berilmu akan memperoleh kejayaan nanti.
"Yang penting, hargailah sumbangan diberikan dan kejayaan yang dicapai nanti, ia dapat mengeluarkan seseorang daripada belenggu kemiskinan, terutama pelajar dari keluarga B40," katanya.
Turut hadir Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM, Dr. Junaida Ismail bersama kakitangan lain yang banyak membantu ke arah kerjasama dengan MAIK dan EMZI bagi menjayakan majlis sumbangan itu. - KitaReporters

Tags:
#baitulmal
#Universiti Teknologi Mara (UiTM)
#institusi pengajian tinggi (IPT)
#fidyah
#wang fidyah
#IPT swasta (IPTS)
#IPT Awam (IPTA)
#Majlis Agama Islam Kedah (MAIK)
#Sentuhan Kasih
#UiTM Kedah
#Dr Roshima Said
#wakalah zakat
#Baitulmal MAIK
#Sentuhan Kasih 2025
#Syeikh Muhammad Suhaimi Zulkiflee
#EMZI Holding Sdn Bhd
#Wakalah Zakat EMZI
#Roslan Mohamed
#Dr Amer Shakir Zainol
#Penolong Naib Canselor (PNC)
#PNC UiTM