Kampus & Pendidikan 31 May, 2025

Jaga alam sekitar! Dapat pendapatan tambahan! Projek kumpul jual minyak masak terpakai UMT berhasil!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

Program pengumpulan minyak masak terpakai mendapat sokongan yang menggalakkan oleh penduduk setempat.


Sebuah inisiatif lestari melibatkan komuniti setempat dalam pengumpulan dan penjualan semula minyak masak terpakai berjaya dilaksanakan sebagai langkah proaktif memelihara alam sekitar serta menjana pendapatan tambahan kepada masyarakat.

Program yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menyasarkan penduduk kawasan perumahan dan premis makanan untuk menyumbang minyak masak terpakai, yang kemudiannya dijual semula kepada syarikat pemprosesan untuk diproses dijadikan produk mesra alam lain.

Menurut pengarah program, Dr Ahmad Shauqi Mohamad Zubir, inisiatif itu bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran air akibat pembuangan minyak ke dalam sinki, malah mampu memberi pulangan tunai kepada komuniti melalui sistem pembelian semula minyak terpakai.


Petugas menimbang minyak masak terpakai yang dihantar oleh penduduk untuk ditukarkan dengan pulangan wang tunai pada kadar RM2.50 per kilogram.


“Minyak masak yang dibuang ke saluran air boleh mencemarkan sungai dan menjejaskan sistem perparitan. 

"Dengan adanya program ini, komuniti bukan sahaja dapat menjaga alam sekitar tetapi juga menjana pendapatan tambahan,” katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran Projek Santuni Komuniti melibatkan beberapa buah kampung termasuk Kampung Wakaf Tengah, Kampung Mengabang Telipot, Kampung Pengkalan Maras dan lain-lain.

Tambahnya, usaha itu turut menyokong Pelan Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh PBBa di samping mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menjimatkan sumber asli untuk kegunaan generasi akan datang.

Program yang dianjurkan oleh Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS) UMT dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat itu telah berjaya mengumpulkan lebih 900 kilogram melibatkan pulangan wang tunai berjumlah RM2,250 dengan kadar RM2.50 per kilogram.


Pertandingan mewarna kanak-kanak turut diadakan sempena penganjuran program pengumpulan minyak masak terpakai.


Turut diadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak bertemakan barangan kitar semula selain sesi perkongsian berkaitan pencemaran dan alam sekitar sebagai langkah awal memupuk nilai kesedaran kepentingan penjagaan alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Safwan Mohd Nor selaku penyelaras program turut merancang untuk memperluas program itu ke kawasan lain dan bekerjasama dengan sekolah-sekolah serta NGO bagi meningkatkan kesedaran generasi muda tentang kepentingan pengurusan sisa secara mampan. - KitaReporters/Kenyataan Media


5
16
0
18
0
You will be interested