Kampus & Pendidikan 23 May, 2025

Graduan UKM terlajak laris? Lebih 95% dapat pekerjaan selepas tamat pengajian! Sasar gaji premium!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this


KAJIAN kebolehanpasaran terhadap 32,546 graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 2006 hingga 2010 mendapati bahawa kebanyakan graduan mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Keseluruhannya, kebolehpasaran graduan UKM dianggap relatif baik, namun terdapat ruang untuk penambahbaikan melalui program pembangunan kerjaya dan latihan industri.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak, berkata kajian terkini juga mendapati UKM menunjukkan prestasi membanggakan dalam peningkatan kebolehpasaran graduan dari 83.5% pada 2020 kepada 95.9% pada 2024.


Dr Mohamad Abd Razak bergambar bersama pemenang Pertandingan Most Employable Graduate (MEG) UKM.


Beliau berkata, cuma beberapa cabaran baharu perlu ditangani antaranya meningkatkan peratusan graduan yang mendapat gaji premium RM4,000 ke atas.

“Saya memandang serius perkara ini kerana kenaikan gaji sekarang tidak melambangkan peningkatan ekonomi negara dan kenaikan kos sara hidup.

“Justeru, saya menyarankan UKM meningkatkan kualiti kurikulum berdasarkan keperluan industri serta menyediakan sijil-sijil profesional tambahan bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Kerjaya UKM 2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Bangi, Selangor.

Turut hadir, Pengarah Hal Ehwal Pelajar Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni); Pengarah Pusat Pembangunan Karier, Prof Madya Dr Salleh Amat; serta Pengasas dan CEO Talentbank Sdn Bhd, Ben Ho.


Hari Kerjaya UKM mendapat penyertaan lebih 40 syarikat dan industri dalam pelbagai bidang pengurusan.


Beliau berkata, majikan perlu memainkan peranan dengan menawarkan gaji setimpal dengan kelayakan dan kompetensi graduan.

“Ini bagi mencegah fenomena “brain drain” atau pemindahan bakat-bakat negara ke luar negara kerana bayaran gaji yang rendah.

“Dalam pada itu, pelajar dan graduan perlu sentiasa mengambil peluang menambah pengetahuan baharu, meningkatkan kemahiran dan kompetensi sesuai dengan kerjaya masa depan,” katanya. 

Pada peringkat UKM, beliau yakin pihak universiti sudah menggandakan usaha agar pelajar dan graduan mempunyai kemahiran yang dperlukan pasaran selain lengkap dengan kemahiran insaniah.

“Ini bukan saja mencerminkan nilai tambah yang kita hasilkan melalui pendidikan tinggi tapi memberi isyarat UKM bukan sekadar melahirkan graduan boleh bekerja tapi memimpin, mencipta dan menyumbang kepada ekonomi negara.

“Penganjuran Hari Kerjaya seperti ini adalah satu pendekatan efektif dalam merapatkan jurang antara universiti dan industri,” katanya lagi.


Dr Mohamad mendengar penerangan dari seorang kakitangan syarikat yang mengambil bahagian dalam Hari Kerjaya UKM 2025.


Dr Muhamad juga mahu lebih banyak hubungan jangka panjang antara UKM dan syarikat-syarikat berkenaan dalam bentuk program latihan industri, biasiswa dan pelan pengambilan graduan.

“Saya berharap kerjasama antara UKM dan pihak industri sentiasa menjadi keutamaan dan diteruskan dalam pelbagai platform yang memberi manfaat kepada warga UKM dan pihak industri.

“Graduan juga perlu mempersiap diri dengan mengasah kemahiran dan membina modal social semasa masih bergelar mahasiswa untuk meningkatkan kebolehpasaran,” katanya.

Sementara itu, pelbagai aktiviti diadakan sempena Hari Kerjaya UKM antaranya sesi temu duga langsung bersama lebih 40 syarikat pelbagai industri, semakan resume dan tips temuduga, ceramah dan forum kerjaya, cabutan bertuah dan jualan usahawan pelajar. - KitaReporters


Syarikat Talentbank Sdn Bhd antara rakan strategik yang turut mengambil bahagian dalam Hari Kerjaya UKM 2025.

11
9
0
12
0
You will be interested