Kampus & Pendidikan 12 Feb, 2023

Malaysia Madani: UPM jiwai konsep masyarakat madani! Alumni agih sarapan Menu Rahmah kepada pelajar!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Mengikut maksud dalam Kamus Dewan, madani bermaksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Tiga perkara ini seandainya diterapkan dalam masyarakat di Malaysia hari ini, mampu membentuk generasi bijak, santun dan maju.

Konsep Malaysia Madani pula diperkenal oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi. 

Justeru, sebagai rakyat sama-samalah kita merealisasikan konsep tersebut dalam konteks yang lebih kecil dan mudah sesuai dengan tempat dan keadaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus UPM

Agihan makan malam kepada pelajar yang tinggal di kolej kediaman yang mengulang kaji pelajaran.


Menjiwai konsep Malaysia Madani, Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil langkah pertama dengan menyuburi jiwa madani dalam kalangan staf, alumni dan pelajar. 

Menggunakan dana dan sumbangan para alumni UPM, Pusat Perhubungan Alumni telah membeli 900 pek Menu Rahmah untuk diedar dan diagihkan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan akhir sesi akademik 2022/2023.

Dalam kerangka melahirkan graduan berjiwa besar, konsep masyarakat madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, bertepatan dengan usaha dan inisiatif yang dilaksanakan di peringkat universiti. Masyararat madani yang berteraskan kepada enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, bertepatan dengan program yang dibentuk selama tiga hari berturut ini yang turut melahirkan rasa ihsan kepada pelajar.


Pelajar Chapter Student Ambassador turut membantu mengagihkan makanan.


Inisiatif dari Pusat Perhubungan Alumni dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM dan Alumni UPM ini juga selari dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025, iaitu melahirkan graduan berdaya tahan yang akhirnya dapat mengangkat martabat dan kegemilangan negara di persada dunia menerusi kecemerlangan para pelajar selaku pelapis generasi akan datang.

Sebagai tanda sokongan kepada inisiatif yang dilakukan ini, pihak pengurusan Universiti turut turun padang mengagihkan pek makanan kepada pelajar. 

Pada hari kedua dan ketiga program, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu; Pendaftar Universiti, Muhazam Mansor; Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud; dan Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni Fahmi Azar Mistar turut mengagihkan pek sarapan kepada pelajar.


Bantu pelajar isi perut menjawab peperiksaan.


“Tahniah kepada Pusat Perhubungan Alumni dan para alumni yang memberikan sumbangan kepada Program Putrabiz@Alumni: Mesti Makan Dulu yang dianjurkan selama tiga hari berturut-turut. 

"Usaha murni yang dilakukan oleh Pusat Perhubungan Alumni UPM dalam pemberian sarapan secara percuma ini merupakan satu usaha  yang murni dan sekurang-kurangnya dapat membantu pelajar mengalas perut sebelum menduduki peperiksaan. "Inisiatif ini diharapkan agar dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan ini juga menunjukkan sokongan moral kepada pelajar untuk menduduki peperiksaan dan dapat menjawab dengan baik.

"Pada ruang yang ada ini juga, saya menyeru dan mengalu-alukan semua alumni UPM terutamanya alumni yang bertugas di UPM itu sendiri, untuk turut bersama-sama dalam setiap program yang dianjurkan. 

Ini adalah tanda sokongan dan solidariti kita selaku alumni yang bertugas di UPM untuk bersama-sama membantu pelajar dan Universiti. Saya percaya dengan sokongan dan jaringan yang ada ini, banyak lagi ruang dan peluang bantuan yang boleh kita hulurkan selari dengan dengan slogan kita iaitu “Berilmu Berbakti”,” ujar Muhazam Mansor, Pendaftar UPM.  

Agihan yang diadakan di dewan peperiksaan yang membabitkan Dewan Besar, Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan juga Dewan Kompleks Akademik UPM. 


Muhazam Mansor (kiri) bersama Prof. Madya Dr. Arba'ie.


Sementara itu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud,  yang turut hadir semasa pengagihan sarapan ini mempunyai pandangan bahawa ini adalah satu usaha yang akan memberi impak yang besar kepada pelajar dan juga universiti.

“Mungkin ini hanyalah sebahagian usaha kecil kita namun impaknya sangat besar. Pelajar melihat usaha dan inisiatif ini sebagai satu usaha membantu mereka mencapai kejayaan. 

"Pengagihan sarapan dan sekurang-kurangnya dapat mengalas perut mereka sebelum menduduki peperiksaan pasti memberi satu momen manis untuk dikenang dan momen ini akan menjadi satu pengikat di hati ini yang mana untuk melaungkan slogan ‘kami bangga menjadi alumni UPM’ suatu masa nanti tidak menjadi satu perkara yang sukar.


Menyantuni pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).


"Saya yakin dan percaya dengan adanya program-program yang dekat di hati khususnya kepada pelajar akan membuatkan mereka untuk kembali menyumbang kepada alma mater apabila sudah bergelar alumni kelak bukanlah satu perkara yang sukar. 

“Ini juga salah satu kerangka kita untuk meraikan alumni yang menyumbang kepada apa juga aktiviti yang dilaksana oleh Pusat Perhubungan Alumni dan secara langsung dapat menguar-uarkan setiap sumbangan dan amanah mereka telah dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Usaha dan inisiatif ini kita akan teruskan pada masa akan datang terutamanya pada minggu peperiksaan akhir semester dan usaha ini adalah sebagai satu usaha untuk kita semarakkan slogan EKSA iaitu ‘Eratkan Kerjasama Sesama Alumni’ dan seterusnya mereka bangga menjadi alumni dapat diteruskan melalui khidmat bakti mereka kepada universiti," katanya.  

Penglibatan dan peranan alumni, setiap program dan aktiviti yang dijalankan akan terus melibatsamakan alumni dalam kelangsungan universiti. Inisiatif yang dilakukan ini adalah selaras dan seiring dengan kehendak universiti iaitu mahu melahirkan pelajar sebagai sosok warganegara yang baik. - KitaReporters



Prof. Dr. Arifin Abdu dan Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni menyantun pelajar yang bakal menduduki peperiksaan akhir.

11
19
0
7
0
You will be interested