Saban minggu masyarakat dikejutkan dengan perdebatan mengenai insiden ketidakdisiplinan pelajar di sekolah yang sering berlarutan sehingga menjadi medan saling menuding jari antara guru, ibu bapa dan pihak pengurusan pendidikan.

Gambar Hiasan... Laporan akhbar mengenai masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang bagai tiada kesudahan dan perlu ditangani secara bijak. - Kredit foto: Anak Jati Penyu.
Keadaan ini mencerminkan kesenjangan kepercayaan yang semakin melebar, walaupun semua pihak mendakwa bercakap atas nama kepentingan pelajar.
Namun di sebalik suara lantang itu, penyelesaian konkrit masih samar dan usaha mencapai titik damai sering terhenti pada persepsi siapa benar dan siapa salah.
Dalam suasana ini, pelajar menjadi pihak yang paling terkesan, seolah-olah mereka hanyalah objek dalam pergelutan naratif, bukannya manusia yang memiliki jiwa, emosi dan hak untuk didengari.
Profesion guru sendiri kini melalui fasa pergolakan besar dengan beban tugas yang semakin kompleks, tuntutan pentadbiran yang membukit, perubahan tingkah laku pelajar pascapandemik, serta kekangan kuasa disiplin yang sering dipersoalkan menimbulkan tekanan berlapis dalam kalangan pendidik.

Laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kajian universiti tempatan menunjukkan lebih sepertiga guru berada dalam kategori tekanan kerja sederhana sehingga tinggi.
Tekanan ini kadangkala membawa kepada keletihan emosi, hilang semangat mengajar atau kecenderungan menyalahkan faktor luar seperti ibu bapa dan dasar kementerian.
Walaupun begitu, profesion perguruan tetap menggalas amanah besar. Guru bukan sahaja penyampai kurikulum, tetapi penjaga iklim psikologi bilik darjah.
Dalam konteks ini, profesion mereka menuntut ketahanan mental dan kebijaksanaan menangani pelbagai ragam pelajar dengan empati dan profesionalisme, bukan melalui rasa kecewa yang diterjemahkan sebagai salahkan orang lain.
Ibu bapa pula semakin diposisikan sebagai punca masalah, kononnya terlalu melindungi anak atau tidak memberi ruang kepada guru mendisiplinkan pelajar.
Namun, kajian UNICEF Malaysia dan beberapa institusi penyelidikan menunjukkan majoriti ibu bapa sebenarnya menyokong tindakan disiplin berhemah selagi ia mematuhi garis panduan keselamatan dan bukan hukuman berbentuk penderaan.
Mereka hanya menjaga hak yang sememangnya digariskan oleh peraturan sedia ada. Keprihatinan ibu bapa juga meningkat selari dengan kesedaran hak kanak-kanak dan risiko pembelajaran era digital.
Tidak adil menuduh ibu bapa sebagai penyebab keruntuhan disiplin apabila realitinya mereka berhadapan tekanan sosial dan ekonomi yang jauh berbeza daripada generasi terdahulu.

Dinamika ini menunjukkan bahawa masalah bukan terletak pada kedegilan ibu bapa, tetapi pada komunikasi yang tidak tersusun antara rumah dan sekolah.
Di pihak kementerian, kesukaran menyelaraskan dasar dalam sistem besar yang melibatkan jutaan pelajar bukan perkara kecil. Walaupun pelbagai garis panduan, pelan intervensi dan latihan guru diperkenalkan, realiti pelaksanaan di lapangan sering tidak seragam.
Sekolah mentafsir SOP disiplin secara berbeza, pentadbir kadangkala bersifat terlalu berhati-hati, manakala guru pula terperangkap antara kehendak praktikal dan risiko aduan.
Kementerian dihujani tuntutan yang bertentangan untuk melindungi pelajar sepenuhnya dan dalam masa sama memberi ruang budi bicara kepada guru.
Ketidakseimbangan ini mewujudkan kekosongan dasar yang menyumbang kepada kekusutan semasa.

Gambar Hiasan... Menangani masalah displin pelajar tidak boleh mengabaikan suara dan emosi pelajar itu sendiri. - Kredit foto: Kedah News.
Dalam keseluruhan perdebatan ini, aspek yang paling kerap terpinggir ialah psikologi pelajar. Sedangkan mereka adalah pihak yang seharusnya diberi perhatian paling mendalam.
Pascapandemik menyaksikan peningkatan keresahan sosial, kemurungan ringan, kesunyian kronik dan ketidakstabilan emosi dalam kalangan remaja.
Kajian Kementerian Kesihatan pada 2022 menunjukkan peratusan remaja Malaysia yang mengalami simptom tekanan meningkat ketara berbanding tahun-tahun sebelum pandemik.
Pelajar kini berdepan tekanan akademik yang berat, landskap digital yang toksik, ketidakpastian masa depan dan struktur sokongan emosi yang tidak sekukuh dahulu.
Dalam keadaan ini, cara mereka bertindak, memproses arahan atau bertingkah laku tidak lagi boleh difahami melalui lensa tradisional semata-mata.
Memarahi pelajar kerana ‘kurang ajar’ atau menuduh mereka tidak berdisiplin tanpa mengenal pasti akar emosinya ibarat memadamkan api dengan menutup mata.
Keperluan mendengar suara pelajar juga semakin mendesak. Dalam banyak sistem pendidikan maju, pendekatan “student voice” atau suara pelajar dijadikan prinsip utama yang membantu membina sekolah lebih inklusif, aman dan berkesan.
Pelajar bukan sekadar penerima pendidikan, tetapi rakan dalam pembentukan budaya sekolah. Dalam konteks Malaysia, pelajar jarang diberikan ruang rasmi untuk menyampaikan pandangan tentang suasana pembelajaran, keselamatan, tekanan sosial atau hubungan mereka dengan guru.

Gambar Hiasan... Peranan masyarakat cukup penting dalam usaha tangani masalah displin pelajar yang bukan menjadi tanggungjawab kementerian atau sekolah sahaja. - Kredit foto: New Sabah Times.
Ketika berlaku konflik, suara pelajar lazimnya hanya hadir dalam bentuk aduan, bukannya dialog. Sedangkan remaja mempunyai keupayaan kognitif yang cukup untuk menilai pengalaman mereka sendiri dan mencadangkan penyelesaian.
Mendengar suara mereka bukan bermakna guru hilang kuasa, tetapi menekankan bahawa disiplin yang dihormati adalah disiplin yang difahami, bukan dipaksakan.
Pendekatan terbaik bagi membina suasana sekolah yang stabil ialah memahami bahawa tingkah laku pelajar ialah refleksi persekitaran psikologi mereka.
Kajian pendidikan antarabangsa menunjukkan bahawa sekolah yang berjaya membina disiplin kukuh bukan bergantung kepada hukuman keras, tetapi kepada hubungan yang selamat antara pelajar dan guru, sistem sokongan emosi yang tersusun, intervensi tingkah laku berperingkat, dan komunikasi konsisten dengan ibu bapa.
Gambar Hiasan... Beban tugas guru yang perlu melakukan pelbagai tugas termasuk pentadbiran selain mengajar dikatakan salah satu punca guru hilang tumpuan. - Kredit foto: SBP.com.my.
Malaysia boleh memanfaatkan model tersebut melalui pembangunan budaya sekolah yang lebih humanistik, yang memberi ruang kepada pelajar untuk dipimpin, bukan dikawal.
Model pembentukan karakter, sesi dialog berkala antara pelajar dan guru, peranan kaunselor yang lebih strategik dan latihan guru dalam psikologi perkembangan ialah beberapa langkah yang terbukti berkesan di banyak negara.
Walau bagaimanapun, usaha ini tidak akan berjaya selagi guru, ibu bapa dan kementerian gagal mengakui bahagian masing-masing dalam kekusutan semasa.
Guru perlu melihat semula cara berinteraksi, memperkukuh empati dan menerima bahawa pelajar generasi kini memerlukan pendekatan berbeza.
Ibu bapa perlu memahami batas profesional guru dan tidak melihat sekolah sebagai pusat servis aduan.
Sementara kementerian pula perlu menyediakan dasar jelas, mengurangkan beban guru dan memastikan setiap sekolah mempunyai sumber mencukupi untuk melaksanakan intervensi psikososial.
Yang paling penting, pelajar harus diiktiraf sebagai subjek, bukan objek dalam sistem pendidikan.

Gambar Hiasan... Usaha menambah baik peraturan displin pelajar antara usaha penting untuk menangani masalah displin dalam kalangan pelajar. - Kredit foto: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Jika kita mahu memulihkan suasana sekolah, kita perlu berhenti menjadikan perbalahan sebagai budaya. Kita tidak punya kemewahan masa kerana setiap tahun yang berlalu adalah sebahagian daripada usia pembentukan generasi akan datang.
Jika kita terus sibuk mempertahan ego pihak masing-masing, pelajar akan membesar dalam sistem yang gagal memahami keperluan sebenar mereka.
Kerosakan moral, sikap acuh tidak acuh terhadap pelajaran, kehilangan motivasi dan kemerosotan empati bukan muncul secara tiba-tiba, tetapi hasil daripada sistem yang tidak stabil dan hubungan yang renggang antara pihak yang sepatutnya bekerjasama.
Malaysia perlu menuju ke arah pendidikan yang lebih matang, holistik dan berperikemanusiaan. Ini hanya boleh dicapai apabila suara pelajar diberikan nilai, guru diberikan sokongan, ibu bapa diberi ruang memahami dasar, dan kementerian bertindak sebagai penyelaras yang responsif.
Krisis ini bukan semata-mata tentang salah siapa, tetapi tentang keberanian semua pihak untuk memperbaiki diri dan kembali melihat pendidikan sebagai kerja kolektif yang memerlukan rendah hati, kebijaksanaan dan kesediaan untuk mendengar.
Masa depan negara sedang dibentuk di bilik darjah, dan kita tidak boleh mensia-siakannya dengan pertelingkahan yang tidak membawa faedah. - KitaReporters

Gambar Hiasan... Walaupun pihak pentadbiran sekolah diberi kuasa penuh menangani masalah displin pelajar, namun setiap tindakan perlu dilakukan dengan teliti dengan mengambil kira suara semua pihak termasuk pelajar sendiri. - Kredit foto: Malaysia Gazette.