Kampus & Pendidikan 11 Nov, 2025

Kreatif dan patriotik! Pertandingan Mewarna Shell Jitra dapat sambutan! Izz Zahra muncul johan!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Darulaman, Izz Zahra Aisyah Isyauqi, muncul johan Pertandingan Mewarna Sempena Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2025 anjuran Shell Bandar Darulaman, Jitra selepas menampilkan hasil lukisan penuh kreativiti dan sarat semangat patriotik.


 Dr. Hendrik Lamsali melihat hasil penyertaan peserta.

Pertandingan tersebut diadakan bersempena sambutan kemerdekaan pada Ogos 2025 lalu sehingga Hari Malaysia pada September 2025 dan menerima penyertaan anak-anak pelanggan serta penduduk sekitar Bandar Darulaman dan Taman Mahsuri. 

Para peserta menghantar hasil karya mereka sepanjang tempoh berkenaan sebelum keputusan pemenang diumumkan pada 10 November 2025.

Tempat kedua dimenangi Muhammad Aly Amin Azmi, juga dari SK Bandar Darulaman, manakala Nurin Qaisara Ramlee dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Darulaman meraih tempat ketiga. 

Iznor Amira Hafizah dari SK Seri Banai dan Auni Darwisya Ramlee dari SMK Bandar Darulaman pula masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.


Izz Zahra Aisyah Isyauqi pemenang pertama pertandingan mewarna menerima hadiah daripada Prof Madya Dr Hendrik Lamsali.

Pengurus Shell Bandar Darulaman Jitra, Sharifah Mahsuri Syed Abdan bersama pemenang saguhati.

Menurut Pengurus Shell Bandar Darulaman Jitra, Sharifah Mahsuri Syed Abdan, pertandingan itu bukan sekadar aktiviti santai, tetapi wadah mengeratkan hubungan antara pihak Shell dan komuniti setempat serta mendidik anak-anak tentang makna sebenar kemerdekaan.

Beliau berkata, aktiviti seumpama itu juga memberi ruang kepada generasi muda menonjolkan bakat dalam suasana menyeronokkan sambil memupuk nilai usaha, kreativiti dan semangat cinta negara.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Prof Madya Dr. Hendrik Lamsali, Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Kanan di Technology & Supply Chain Excellence Institute (Institut Kecemerlangan Teknologi dan Rantaian Bekalan atau TeSCE), Universiti Utara Malaysia (UUM). 

Beliau memuji inisiatif Shell dan rakan strategik yang menganjurkan program berunsur pendidikan serta kekeluargaan kerana ia berupaya memperkukuh semangat komuniti dan melahirkan generasi yang berjiwa patriotik.


Urusetia pertandingan bergambar dengan Pengurus Shell dan Prof Dr Hendrik.

Sharifah Mahsuri Syed Abdan menyampaikan cenderamata kepada Prof Madya Dr Hendrik.

Sebanyak 17 peserta lain turut menerima hadiah saguhati sebagai penghargaan atas penyertaan cemerlang masing-masing. 

Program berkenaan diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan ringan yang penuh keceriaan, menjadikan petang itu bukan sahaja tentang pertandingan, tetapi juga tentang warna, kasih keluarga dan semangat kemerdekaan yang terus subur dalam jiwa anak-anak Malaysia. - KitaReporters 


Peserta, pemenang dan ibu bapa bergambar selepas majlis penyampaian hadiah.

 

12
13
0
15
0
You will be interested