Kampus & Pendidikan 05 Sep, 2024

Suntik motivasi pelajar! SAIFI anjur Lensa Rehlah Ilmiah 2024! Teruja ikuti aktiviti perkhemahan!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this


Seramai 158 pelajar aliran tahfiz dan turath dari Institut Imam Ahmad ibn Idris (SAIFI) di Rembau, Negeri Sembilan teruja apabila berpeluang mengikuti program Rehlah Ilmiah 2024 yang berlangsung di Kem Permata Resort Alor Gajah, Melaka baru-baru ini.

Menurut Mudir SAIFI, Ustaz Muhammad Amir Naqiuddin Amir Zuhairi Al-Hafiz, objektif program ini bertujuan untuk mengeratkan ukhwah antara sesama pelajar dan para asatizah serta penyatuan hati dalam usaha merealisasikan misi dan visi institusi tersebut.

"Selain itu, ia juga memberi peluang kepada para pelajar dan tenaga pengajar menenangkan fikiran dengan cara menghayati keindahan dan kebesaran Allah. Paling penting, melalui penganjuran program sebegini, ia mampu mempelbagaikan corak pengajaran dan pembelajaran yang lebih memberangsangkan minat pelajar,” jelas Muhammad Amir Naqiuddin kepada KitaReporters.


MUHAMMAD Amir Naqiuddin Amir Zuhairi Al-Hafiz berharap program ini mampu meningkatkan jati diri dan menyuntik motivasi buat para pelajar.


PARA pelajar berpeluang menikmati keindahan alam dan menghayati kebesaran Allah melalui aktiviti Jungle Trekking.


Tambah beliau, seramai 20 orang guru turut menyertai rehlah tersebut yang berlangsung pada 20 dan 21 Ogos 2024 lalu.

“Secara keseluruhan, kami berharap melalui penganjuran program ini, ia akan menjadi satu landasan untuk membantu para pelajar meningkatkan jati diri dan menyuntik motivasi agar mereka lebih bersemangat dalam menuntut ilmu dunia dan akhirat,” ungkapnya lagi.


BARISAN asatizah atau tenaga pelajar SAIFI yang turut memberi sokongan mengikuti program ini bersama para pelajar.


Terdapat pelbagai pengisian sepanjang dua hari kem itu berlangsung. Antaranya sesi Ice Breaking, Penubuhan Pasukan, Jungle Trekking, River Crossing, Obstacle Challenge, Night Walk dan Flying Fox.

Kesemua aktiviti tersebut berjaya menguji kekuatan minda dan fizikal para pelajar yang sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dan memberi kerjasama yang jitu dalam pasukan masing-masing.


PELAJAR perempuan tidak ketinggalan menujukkan keberanian masing-masing melakukan aktiviti River Crossing.


Di samping itu, pihak pengurusan turut mengadakan aktiviti bersifat kerohanian seperti Hizib Syahar iaitu bacaan satu juzuk Al-Quran pada setiap selepas subuh dan maghrib, Kuliah Subuh, Kuliah Maghrib dan segmen Refleksi Diri yang memberi ketenangan dalam diri setiap peserta.


AKTIVITI Flying Fox memberi kekuatan kepada para pelajar mengatasi rasa takut dalam diri.


Salah seorang pelajar, Muhammad Alawi Mohd Turmadzi berkongsi, pengalaman yang diperoleh sepanjang mengikuti program Rehlah Ilmiah 2024 itu mampu memberi semangat untuknya terus bergelar penuntut ilmu. 

“Banyak yang kami pelajari dalam program ini. Setiap aktiviti mempunyai signifikan tersendiri dan mempunyai ibrah untuk kami teladani. 

"Semoga saya berjaya menjadi penghafaz Al-Quran yang beramal dengan ilmunya satu hari nanti dan menyumbang sesuatu buat khalayak apabila meningkat dewasa kelak,” ujar Muhammad Alawi.

Tambah anak kelahiran Ampang, Selangor ini, sebagai pelajar tahun akhir di SAIFI, dia turut melahirkan rasa bersyukur kerana berpeluang belajar di institusi tersebut yang sangat mementingkan nilai-nilai ilmu di samping menekankan adab dan akhlak di kalangan para pelajar.


MUHAMMAD Alawi (dua dari kanan) menerima hadiah mewakili rakan-rakannya apabila pasukan mereka memenangi salah satu aktiviti yang dipertanding.


Tidak ketinggalan, barisan pentadbir SAIFI turut menghargai sumbangan ibu bapa dan penjaga dalam program tersebut termasuk menaja kos penyertaan anak-anak pelajar yang kurang berkemampuan.

“Semoga setiap sumbangan yang dihulurkan para ibu bapa menjadi asbab beroleh kebaikan di dunia dan akhirat. Syukur alhamdulillah kerana semua pelajar dapat mengikuti aktiviti kem dengan baik dan selamat tanpa sebarang perkara yang tidak diingini.

“Insya-Allah, acara ini akan dijadikan salah satu acara dalam kalendar tahunan SAIFI yang akan dipertingkat dari semasa ke semasa,” kata Muhammad Amir Naqiuddin menutup bicara. - KitaReporters


AKTIVITI kerohanian turut diadakan seperti pembacaan satu juzuk Al-Quran, Kuliah Subuh dan Maghrib serta segmen Refleksi Diri.


PARA pelajar Institut Imam Ahmad ibn Idris bergambar kenangan bersama para asatizah pada majlis penutup program Rehlah Ilmiah 2024 di Kem Permata Resort Alor Gajah, Melaka baru-baru ini. - Kredit Foto SAIFI 


19
10
0
18
0
You will be interested