RESQ Team UPSI bersama anggota JBPM memindahkan mangsa di Tumpat.
NAIB Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, menzahirkan rasa bangga dan terharu terhadap pembabitan Skuad Ihsan Madani dari RESQ Team UPSI yang membantu mangsa banjir di Tumpat, pada 1 Disember 2024.
Menurutnya, tindakan pantas dan dedikasi yang ditunjukkan oleh RESQ Team tersebut dalam menyediakan bantuan keperluan asas serta menyokong mangsa banjir adalah sesuatu yang amat membanggakan, selaras dengan hasrat nilai Malaysia Madani berteraskan ‘Ihsan’.
Sukarelawan RESQ Team UPSI membantu menyelamat dan
memindahkan mangsa banjir yang terjejas di Kampung Baru Nelayan, Tumpat,
Kelantan.
Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Muhammad Aqil Aryan Wong selaku ketua misi, memaklumkan 400 mangsa berjaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat dengan menggunakan bot ResQ UPSI 40HP dan lori 18 tan.
Dr Muhammad Aqil Aryan Wong (empat dari kanan) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir.
Beliau berkata, dalam usaha itu, RESQ Team UPSI turut bekerjasama dengan pelbagai badan kerajaan seperti Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Daerah (IPD) Tumpat dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Tumpat untuk memastikan keperluan mangsa banjir dapat dipenuhi dengan segera.
“Misi dimulakan dengan Mesyuarat Penyelarasan Operasi Banjir di IPD Tumpat yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Supt Ibrahim Husin dan seterusnya taklimat serta agihan misi dilakukan oleh Penolong Penguasa Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Tuan Mohd Rafain Mat Zin, di Balai Bomba Daerah Tumpat,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan
Alumni) UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin, berkata UPSI terus komited untuk
menjadi penyumbang positif dalam membantu masyarakat, terutama dalam situasi
bencana demi kesejahteraan bersama.
Jelas beliau, setiap tahun RESQ Team UPSI membantu mangsa banjir sejak pasukan menyelamat itu ditubuhkan pada tahun 2007. - KitaReporters
RESQ Team UPSI memindahkan mangsa banjir dengan menggunakan lori 18 tan.