PARA pemenang kesemua kategori dan tetamu kenamaan Pertandingan Persahabatan TVET ASEAN 2025 diraikan pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiahnya oleh Abdul Rahman Mohamad (12 dari kiri).
PASUKAN Malaysia jelas berada di kelas tersendiri apabila mengungguli tujuh daripada sembilan kategori kemahiran vokasional dalam Pertandingan Persahabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) 2025.
Tuan rumah meraih pingat emas kategori Penerapan Bata, Pertukangan Kayu, Pertukangan Kabinet, Pembinaan Digital, Pendawaian Elektrik, Paip dan Pemanasan, serta Kimpalan mengatasi 11 negara termasuk pasukan jemputan negara Asia lain, menurut satu siaran media penganjur.
Para pemenang setiap kategori diumumkan pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Persahabatan TVET ASEAN 2025 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 26 Jun 2025 lalu.
Majlis yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, pakar teknikal dan wakil industri serta peserta dari 12 negara ini, menjadi kemuncak kepada pertandingan empat hari yang penuh dengan semangat, pembelajaran dan kerjasama serantau dengan temanya, 'Bakat Bagi Keterangkuman dan Kelestarian'.
Negara-negara ASEAN ialah seperti Indonesia, Singapura, Kemboja, Brunei dan Timor-Leste manakala negara jemputan Asia lain termasuk Jepun, China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
SEORANG peserta Malaysia sebuah kategori Pertandingan Persahabatan TVET ASEAN 2025 berdiri di podium pemenang pingat emas dalam majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Abdul Rahman Mohamad (dua dari kanan).
Sebanyak 40 peserta muda telah bertanding dalam persekitaran berkepesatan tinggi yang direka untuk menepati piawaian antarabangsa mengikut Piawaian Pekerjaan Kemahiran Dunia atau WorldSkills Occupational Standards (WSOS).
Pertandingan Persahabatan TVET ASEAN 2025 ini juga menjadi batu loncatan penting menjelang pertandingan kemahiran dunia, WorldSkills ASEAN Ke-14 di Manila, Filipina dan WorldSkills Asia Ketiga di Taipei, Taiwan.
Para peserta diuji dalam sembilan bidang kemahiran iaitu: Penerapan Bata; Pendawaian Elektrik; Pertukangan Kabinet; Pertukangan Kayu; Paip dan Pemanasan; Penyejukan dan Penyaman Udara; Kimpalan; Pembinaan Digital; dan Reka Bentuk Kejuruteraan Berbantuan Komputer (CAD).
Lokasi pertandingan melibatkan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah; CIDB Technologies dan MYBIM Centre (Kuala Lumpur) dan Pusat Latihan Pusat Teknologi Industri Perabot (Fitec) di Batu Caves, Selangor yang dilengkapi kemudahan bertaraf industri.
Penilaian dilakukan oleh panel juri terdiri daripada pakar bertauliah WorldSkills dan penilai industri yang berpengalaman, berdasarkan ketepatan teknikal, kelajuan, pematuhan keselamatan dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam tempoh yang ditetapkan.
Sumbangan padu penaja tempatan dalam menjayakan Pertandingan Persahabatan TVET ASEAN 2025 turut menyokong aspek logistik dan penganjurannya selain memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta tempatan.

ANTARA peserta pasukan Malaysia (berbaju Melayu) yang muncul pemenang antara tujuh kategori Pertandingan Persahabatan TVET ASEAN 2025 menayangkan hadiah kemenangan masing-masing di samping tetamu kenamaan.
Peranan Malaysia dalam menerajui penganjurannya turut mencerminkan visi strategik negara dalam membentuk ekosistem TVET yang berorientasikan industri, diharmonikan pada peringkat serantau dan berdaya saing global sejajar aspirasi Inklusiviti dan Kelestarian di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.
Penganjurannya merupakan hasil kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku penganjur utama dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebagai rakan pelaksana utama.
Pertandingan ini juga amat signifikan kerana merupakan kali pertama dijalankan pada peringkat serantau yang mengkhususkan kemahiran berkaitan sektor pembinaan sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh profil sektor pembinaan dalam ekosistem TVET. - KitaReporters
PARA tetamu kenamaan dan hadirin Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Persahabatan TVET ASEAN 2025 menyalakan lampu telefon bimbit mereka sebagai meraikan kejayaan penganjurannya di Dewan Tun Dr. Ismail, WTC, Kuala Lumpur.