Kampus & Pendidikan 10 May, 2025

Hadapi cabaran generasi alpha! Transformasi program akademik! Seminar kebangsaan dapatkan hala tuju!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak dengan kerjasama Institut Pengajian Siswazah (IPS) dan Pusat Pembangunan Akademik (PPA) UPSI akan menganjurkan Seminar Kebangsaan Hala Tuju Program Akademik 2025 (SEPAKAD ’25) bermula pada 18 sehingga 20 Mei 2025.

Bertemakan Transformasi Program Akademik dalam Menghadapi Cabaran Generasi Alpha’, seminar yang akan berlangsung di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI itu dijangka menjadi platform penting dalam membincangkan masa depan program akademik negara secara holistik dan inklusif.

Seminar berkenaan akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, manakala ucaptama akan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.


Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus


Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus, berkata penganjuran seminar itu amat signifikan dalam menyahut cabaran landskap pendidikan tinggi yang semakin kompleks, terutama dalam berdepan perubahan pesat teknologi, kehendak pasaran kerja dan jangkaan generasi baharu.

Menurutnya, SEPAKAD ’25 bukan sekadar seminar akademik biasa, sebaliknya ia adalah medan wacana strategik bagi ahli akademik, pentadbir dan pemegang taruh untuk mengimbas kembali keberkesanan struktur program pengajian yang sedia ada, malah  mencari pendekatan baharu yang lebih relevan serta lestari.

Beliau berkata, generasi alpha yang dijangka mendominasi institusi pengajian tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang memiliki ciri dan keperluan pembelajaran yang amat berbeza, menjadikan transformasi program akademik satu keperluan mendesak.

“Kita berdepan generasi yang lahir dalam persekitaran digital sepenuhnya, dengan kebiasaan terhadap akses maklumat pantas, pembelajaran kendiri dan kehendak kepada pengiktirafan kemahiran secara fleksibel.

“Justeru, kita perlu mengubah cara program ditawarkan supaya lebih bersifat modular, hibrid dan berorientasikan kemahiran masa hadapan.

“Jika kita gagal menyesuaikan diri dengan corak pembelajaran dan pemikiran mereka, kita bukan sahaja akan ketinggalan, malah institusi pengajian tinggi akan berisiko menjadi tidak relevan dalam ekosistem pembangunan modal insan negara,” ujarnya.


Dr. Mohammad Shatar Sabran menyampaikan ucaptama.


Dr. Ridzwan berkata, seminar itu turut menyediakan ruang pembentangan hasil penyelidikan dan perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan program akademik yang boleh menjadi asas kepada reformasi dasar dan penawaran kurikulum.

“Kami menggalakkan setiap peserta bukan sahaja hadir untuk mendengar, tetapi turut menyumbang idea dan cadangan yang boleh membentuk kerangka transformasi program akademik nasional. Ini adalah masa terbaik untuk kita mengorak langkah bersama sebagai komuniti akademik,” terangnya.

Antara skop utama yang akan dibincangkan termasuk inovasi dalam program akademik, kebolehpasaran graduan, serta pengurusan program secara efektif dan inovatif.

Seminar itu turut membuka ruang kolaborasi antara ahli akademik, pentadbir universiti serta pemegang taruh industri dalam merangka masa depan pendidikan tinggi negara.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai seminar itu boleh menghubungi Sekretariat SEPAKAD ’25 melalui Ketua BHEA, Suhaila Sidek (013-6853278) atau Pegawai Tadbir Kanan, Ezma Rozainee Mohd Rodzi (012-3077907). 

Maklumat lanjut juga boleh didapati melalui laman sesawang rasmi seminar di https://sepakad.upsi.edu.my/ - KitaReporters


Bangunan Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

11
19
0
13
0
You will be interested