Kampus & Pendidikan 01 Dec, 2022

Meriah selepas sepi dua tahun! Majlis pembukaan Kejohanan Sukan Antara Fakulti (SUFA) USIM 2022!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada prousim@gmail.com

Share this


SETELAH dua tahun kampus ‘sunyi’ tanpa penganjuran sukan fakulti berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi menganjurkan Kejohanan Sukan Antara Fakulti (SUFA) bagi tahun 2022.

Program yang diterajui Pusat Sukan USIM ini turut mendapat tajaan daripada Extra Joss, Yakult Malaysia, Anna Legacy, DIY Malaysia, Pixxerpro dan RMT Entertainment.

Majlis Pembukaan disempurnakan pada 28 November 2022 oleh Naib Canselor Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Sharaani bertempat di Dewan Tuanku Canselor.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus USIM


Naib Canselor Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Sharaani dalam ucapan perasmiannya berkata, dengan adanya kejohanan seperti ini, ia dapat membina budaya hidup sihat dan cergas yang memberi impak positif kepada pelajar dalam tempoh jangka masa panjang di samping memupuk budaya “USIM Cergas dan Cerdas” selain daripada semangat kerja berpasukan serta integrasi antara pelajar di luar kelas.

“Menjadi harapan saya agar kejohanan ini dapat menonjolkan imej USIM sebagai Universiti Awam yang aktif dalam kegiatan berasaskan sukan dan rekreasi”, tambahnya lagi.

Kejohanan SUFA merupakan acara tahunan sebagai platform untuk perkembangan dan pembangunan sukan pelajar USIM sebelum menyertai peringkat sukan yang lebih tinggi seperti Kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Sukan Universiti Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan kejohanan lain pada peringkat KPT.

Bermula 23 November sehingga 21 Disember 2022, sebanyak 16 acara sukan utama dipertanding antaranya seperti badminton, bola baling, bola sepak, catur, lawn bowls (boling padang), memanah, ping pong, bola tampar, bola jaring, futsal, petanque, tenis, ragbi sentuh, frisbee, sepak takraw dan olahraga. 

Dalam majlis pembukaan tersebut menyaksikan Fakulti Syariah dan Undang-undang dinobatkan sebagai kumpulan perbarisan terbaik, manakala Pusat Tamhidi dinobatkan sebagai Ultras Terbaik.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff dan Pengarah Pusat Sukan Encik Nur Ekmal Buhary. - KitaReporters/USIM


 

 

 

13
13
0
6
0
You will be interested