Kampus & Pendidikan 06 Dec, 2025

Pro-Canselor baharu! Anugerah pertama Profesor Emeritus! 4,187 graduan diraikan majlis konvokesyen!

Share this

Malaysia Multimedia University (MMU) memahsyurkan pelantikan Pro-Canselor yang baharu serta meraikan seramai 4,187 graduan dalam Majlis Konvokesyen 2025 yang berlangsung di Dewan Tun Canselor MMU, di Cyberjaya, mulai 6 sehingga 8 Disember 2025.


 


Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dimahsyurkan sebagai Pro-Canselor MMU yang baharu pada Majlis Konvokesyen MMU Ke-26 di Cyberjaya pada 6 Disember 2025.

Pemahsyurakan itu diumumkan selepas pengisytiharan rasmi pembukaan sesi oleh Tun Zaki Tun Azmi, Canselor MMU. Majlis tersebut turut dihadiri Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid, selaku Pro-Canselor MMU.

Pelantikan Richard menempatkan beliau sebaris dengan Canselor dan Pro-Canselor yang sedia ada dalam struktur kepimpinan keraian universiti. 

Hal ini mencerminkan skala dan tanggungjawab sebuah universiti Malaysia moden, di mana peningkatan jumlah graduan serta perkembangan jadual konvokesyen dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah memperluas skop peranan representasi pada peringkat tertinggi. 

Kehadiran beliau memperkukuh kerangka kepimpinan sedia ada dan selari dengan pembangunan berterusan institusi.



Sebagai seorang ahli perundangan terkemuka dan bekas Ketua Hakim Negara kesembilan, Tun Richard Malanjum membawa kewibawaan besar kepada MMU. 

Beliau menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) dengan Institut Teknologi MARA (ITM) sebagai pelajar luar Universiti London pada tahun 1975. 

Kerjaya perundangan dan kehakiman beliau merentasi lebih empat dekad, dengan rekod perkhidmatan awam, amalan guaman, keputusan mahkamah bersejarah, penghakiman berbeza berprinsip, serta komitmen berterusan terhadap integriti Perlembagaan.

Richard memegang keistimewaan sebagai anak Sabah pertama dan individu pertama dari negeri-negeri Malaysia Timur yang berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara. 

Kerjaya kehakiman beliau meliputi pelantikan pada semua peringkat mahkamah Malaysia, sebelum mencapai jawatan tertinggi kehakiman negara pada 2018. 

Sejak bersara pada 2019, beliau terus menyumbang pada peringkat antarabangsa sebagai Ombudsperson Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang dilantik pada 2022 dan dilantik semula pada 2024.

Mengulas tentang pelantikan tersebut, Presiden MMU, Prof. Dato' Dr. Mazliham Mohd Su'ud berkata; “Komitmen sepanjang hayat yang dicurahkan oleh Tun Richard terhadap keadilan dan khidmat awam adalah selari dengan nilai-nilai yang menjadi panduan MMU. 

"Pelantikan beliau sebagai Pro-Canselor membawa pengalaman tiada tandingan dan mengukuhkan kedudukan MMU serta memantapkan tradisi universiti dalam perkhidmatan cemerlang pada tahap tertinggi.” 



Sementara itu, pada hari pertama Majlis Konvokesyen MMU Ke-26 menyaksikan detik bersejarah yang penting dengan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Pengurusan, penganugerahan Profesor Emeritus buat pertama kali dalam sejarah MMU serta pengumuman graduan cemerlang MMU sempena konvokesyen ini.

Majlis yang berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu, 6 Disember 2026, menyaksikan para graduan menerima skrol Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi Maklumat & Komunikasi, Multimedia Kreatif, Seni Sinematik, Perniagaan & Pengurusan, Kewangan, Perakaunan, Undang-Undang, dan Komunikasi Strategik.



Dalam majlis yang sama, universiti menganugerahkan Ijazah Doktor Pengurusan Kehormat kepada Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Prof. Mazliham berkata; “MMU berasa bangga untuk mengiktiraf Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, yang memiliki kepimpinan berwawasan dalam menggerakkan MCMC bagi membentuk landskap digital Malaysia. 

"Sumbangannya selari dengan misi teras MMU dalam bidang teknologi dan komunikasi, menjadikan penganugerahan ini penghormatan yang amat sesuai.”


 


Satu lagi detik bersejarah dalam konvokesyen ialah penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Tan Sri Prof. Dr. Ghauth Jasmon yang merupakan bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) dan juga Presiden pertama serta Pengasas MMU.

“Penganugerahan Tan Sri Ghauth sebagai Profesor Emeritus pertama MMU adalah satu detik kebanggaan yang amat besar bagi komuniti MMU, memastikan kepimpinan visionernya terus memberi inspirasi kepada generasi akademik dan pelajar masa depan,” kata Prof. Mazliham.



Universiti juga mengumumkan graduan cemerlang daripada Kelas 2025 pada sesi pertama majlis. Para penerima cemerlang ini diiktiraf dengan Anugerah Canselor, Anugerah Presiden, serta 12 penerima Anugerah Permata.

Konvokesyen ini menandakan satu titik penting ketika graduan bersiap sedia memulakan perjalanan profesional mereka dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat digital. - KitaReporters/MMU

12
10
0
10
0
You will be interested