Kerajaan sedang merangka Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (2026–2035), yang akan menjadi satu gagasan atau satu rangka jangka panjang bagi memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan itu akan menjadi asas penting untuk memastikan sistem pendidikan tinggi negara lebih inklusif, berkualiti dan berdaya saing.
"Ini semua ke arah melahirkan generasi masa depan yang bersedia menghadapi tantangan dan cabaran masa depan yang bertali arus," jelasnya.
Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat pembentangan khas mengenai Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (2026–2035) di Putrajaya pada Selasa, 9 Disember 2025.
Menurutnya, pelan ini sebagai ‘living document’ (dokumen senantiasa diubah suai) yang akan terus berkembang sejajar dengan percambahan pelbagai teknologi baharu dewasa ini.
"Melalui pendekatan antara disiplin dan penyelidikan berorientasikan misi, ia akan memacu transformasi masyarakat serta inovasi ke arah sebuah negara yang harmoni, makmur, berteknologi maju dan mampan," ujar Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media
